KOTA KINABALU:Kerajaan Sabah hari ini mengesahkan tiada lagi sampel tertunggak yang boleh menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, berdasarkan laporan terkini dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), tiada lagi sampel tertunggak yang direkodkan setakat ini.

Jelasnya, dengan ketiadaan sampel tertunggak tersebut, jumlah bilangan kes COVID-19 di Sabah kini adalah merujuk kepada jangkitan baharu.

"Setakat ini kita tidak menerima backlog kes atau kes yang tertunggak.

"Jadi, andaian saya kes yang dilapor sekarang adalah kes yang terbaharu dan ini yang telah diberikan oleh JKNS," katanya menerusi sidang media maya di Kota Kinabalu pada Isnin.

Menurut Masidi, biarpun angka kes mencatatkan penurunan, namun terdapat beberapa kluster baharu telah dikesan yang melibatkan dua daerah.

"Jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 370 dengan tujuh kematian.

"Tiga di Sandakan, dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tuaran dan Tawau.

"Pada hari ini, terdapat dua kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Numbak di Kota Kinabalu sebanyak lapan kes dan Kluster Nahaba di Kota Belud iaitu sebanyak 25 kes," katanya.

BACA: COVID-19: 972 kes baharu, 1,345 kes pulih dicatat

Tambah Masidi, daripada 370 kes positif COVID-19 yang direkodkan pada Isnin, sebanyak 131 kes atau 35.41 peratus adalah dari daerah Tawau, Kota Kinabalu, Tuaran dan Sandakan yang berpunca dari saringan kontak rapat manakala selebihnya iaitu 239 kes adalah dari lain-lain.