KUALA LUMPUR:Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 412 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 135 individu ditahan kerana gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal.

Ia sekali gus menjadikan kesalahan tersebut sebagai kesalahan tertinggi yang dikesan dalam tempoh 24 jam.

“Semalam (3 Disember 2020), PDRM telah menahan 412 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.

“Daripada jumlah itu, seramai 403 individu telah dikompaun manakala 9 individu pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (135), aktiviti pusat hiburan (113), tidak memakai pelitup muka (64), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59), rentas daerah/negeri PKPB tanpa kebenaran (27), dan lain-lain (14),” katanya dalam satu kenyatan media pada Jumaat.

Menerusi Operasi Benteng yang dijalankan pula, beliau berkata 51 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 11 tekong ditahan.

Katanya lagi, satu bot/kapal dan dua kenderaan darat juga berjaya dirampas.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Dalam perkembangan lain, daripada 81,240 individu yang telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lalu, seramai 11,682 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 509 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.