KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein sekali lagi menjalani perintah kuarantin, kerana menjadi kontak rapat dengan kes positif COVID-19.

Perkara ini disahkan beliau menerusi posting di Instagram petang semalam.

Beliau pada awalnya dijadualkan pulang ke kawasan Parlimen Sembrong, untuk bertemu dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang mendapat keputusan cemerlang 11A dan 10A.

Namun, ucapan tahniah kepada Wong Hui Jun dan Hew Yee Han serta keluarga dititipkan hanya menerusi panggilan video.


"Saya anggap kecemerlangan mereka sebagai kejayaan bersama warga Sembrong, khususnya ibu bapa, para guru dan pelajar.

"Minta maaf sangat kerana tidak dapat turun ke kawasan hari ini. Saya terpaksa menjalani pengasingan. Kuarantin diri. Kerana jadi kontak rapat kepada seorang yang positif COVID-19," katanya.

Ini merupakan kali ketiga Hishammuddin menjalani kuarantin.

Bulan lalu beliau terpaksa dikuarantin dan tidak dapat menghadiri Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-China kerana menjadi kontak rapat kes positif COVID-19.

Pada Mei tahun lalu beliau dikuarantin kerana menjadi kontak rapat dengan pegawai Wisma Putra yang disahkan positif.