Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kes jangkitan COVID-19 di negara ini menyaksikan penurunan kepada 21 kes pada Khamis berbanding 62 kes yang dilaporkan semalam, sekali gus merekodkan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu sebanyak 10,052 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 16 kes merupakan penularan tempatan membabitkan 15 warganegara dan satu bukan warganegara manakala lima lagi adalah kes import membabitkan rakyat tempatan.

Katanya, sebanyak 15 kes lagi telah pulih dan dibenarkan pulang menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 9,250 kes.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 674 kes dengan 13 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala dua daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

"Tiada kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhannya kekal sebanyak 128 orang," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, perincian 15 kes penularan dalam negara melibatkan rakyat tempatan ialah meliputi tujuh di Kedah, lima di Sabah, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Selangor dan Sarawak.