KUALA LUMPUR:Pusat Kuarantin Dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) boleh diaktifkan semula hanya dalam tempoh tiga hari sekiranya benar-benar perlu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam sidang media hari ini, beliau berkata, Kementerian Kesihatan buat masa kini sedang memantau rapat peningkatan kes di Lembah Klang, dan akan mengkaji keperluan itu, dari semasa ke semasa.

“Setakat ini kita ada kapasiti (yang mencukupi) di Pusat Rawatan di Hospital Sungai Buloh, kita ada kapasiti 400 katil di situ dan kalau perlu (buka semula MAEPS) kita akan laksanakan.

“Sekarang ini kita ada pengalaman untuk menjalankan, atau membuka semula MAEPS ini dalam tempoh tiga hari. Jadi kalau ada keperluan di Semenanjung, kita akan laksanakan. Di Sabah contohnya, kita gunakan pengalaman tersebut untuk membuka enam pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertambahan kes yang mendadak di Semenanjung, khususnya di Lembah Klang.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

Sewaktu awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada Mac lepas, kerajaan telah membuka pusat kuarantin sementara di MAEPS itu untuk menampung peningkatan pesakit pesakit berisiko rendah.

Dengan kemampuan menampung kapasiti seramai 600 pesakit pada satu masa, pusat itu turut dilengkapi perkhidmatan klinikal, wad untuk pesakit COVID-19, ruang resusitasi, ambulans, farmasi, perkhidmatan X-ray, serta perkhidmatan makmal patologi.