KULAI:Kementerian Kesihatan (KKM) kecewa masih ada majikan atau agensi pekerjaan yang membiarkan asrama pekerja sesak sehingga mengundang risiko penularan COVID-19.

Berikutan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, meminta Jabatan Tenaga Kerja (JTK) melakukan siasatan secara menyeluruh isu berkenaan di seluruh negara.

Beliau melihat sendiri keadaan itu ketika tinjauan di beberapa asrama kilang di Senai, Kulai hari ini.

Ketika tinjauan itu, beliau mendapati terdapat 19 hingga 25 orang ditempatkan di satu bilik yang sempit, sekali gus jelas melanggar syarat yang ditetapkan JTK.

Tinjauan Dr Adham mendapati terdapat 19 hingga 25 orang ditempatkan di satu bilik yang sempit.

Malah, katanya ketika tinjauan itu, beliau mendapati pekerja warga asing dari tiga kilang berbeza ditempatkan dalam asrama pekerja yang sama.

"JTK akan menyiasat adakah (asrama) ini milik majikan atau agensi yang menggajikan pekerja. Kita mahu pastikan kedudukan sebenar, (adakah) majikan telah berikan kepada agensi untuk selia (penginapan) dan kemudian agensi (yang buat penempatan pekerja di asrama).

"Kita mahu majikan bertanggungjawab bersama kita dalam menangani COVID-19," katanya selepas tinjauan berkenaan hari ini.

Katanya, hasil saringan membabitkan 568 pekerja kilang terbabit mendapati 327 orang disahkan positif COVID-19.

Sejak 5 Februari lalu hingga semalam, terdapat sekurang-kurangnya lapan kluster COVID-19 di Kulai membabitkan sektor industri, termasuk Kluster Jalan Perindustrian Elektronik dan Kluster Jalan Seelong.