Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan satu kluster baharu berkaitan COVID-19 dikesan di Semporna, Sabah iaitu Kluster Selamat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu berpunca daripada kes indeks kluster (iaitu kes ke-9,969) merupakan seorang wanita warganegara Malaysia yang berusia 32 tahun.

"Beliau didapati positif COVID-19 pada 14 September 2020 ketika saringan kemasukan ke Hospital Tawau bagi kelahiran pramatang.

"Hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif, satu lagi kes positif COVID-19 dikesan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kes berkenaan melibatkan pegawai perubatan yang merawat kes indeks.

"Sehingga 17 September 2020, sejumlah 118 individu telah disaring dalam kluster ini.

"Daripada jumlah ini, dua kes dikesan positif COVID-19 dan 116 individu masih menunggu keputusan," jelasnya.

Sementara itu, ujar beliau, langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan
pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan dan aktiviti mengawal penularan jangkitan bagi kluster ini giat dijalankan di lapangan," katanya.