KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan tiga daerah iaitu Lundu, Miri dan Limbang telah bertukar status dari zon hijau ke kuning.

JPBN Sarawak dalam kenyataan medianya pada petang Jumaat mengesahkan, ini susulan daripada pertambahan kes baharu COVID-19 di ketiga-tiga daerah berkenaan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Tujuh kes dicatatkan di Miri, satu masing-masing di Limbang dan Lundu,” memetik kenyataan tersebut.

Jelas JPBN Sarawak lagi, selain dari daerah-daerah berkenaan, Kuching juga merekodkan pertambahan tujuh kes baharu. Jumlah itu sekali gus menjadikan 16 kes baharu direkodkan pada Jumaat di negeri tersebut.

“Lima kes yang dikesan di Kuching melibatkan Kluster Greenhill. Kes-kes ini dikesan melalui saringan kontak rapat yang dijalankan dalam tempoh 28 dan 29 Oktober 2020.

“Manakala, satu kes melibatkan Kluster Baki, juga di Kuching,” kata JPBN Sarawak.

BACA : COVID-19: Satu kluster baharu, 27 kes positif dilaporkan di Sarawak

BACA : Satu kluster baharu, lapan kes positif COVID-19 di Sarawak


Menjelaskan lebih lanjut, kes kelima yang dimuatkan dalam laporan berkenaan melibatkan seorang wanita tempatan yang menjalani saringan kendiri di sebuah fasiliti kesihatan swasta di daerah sama.

Ujar JPBN Sarawak, wanita berkenaan dilaporkan mempunyai gejala demam dan batuk sebelum disahkan positif COVID-19.

“Kes ini tidak mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko tinggi. Punca sebenar jangkitan masih lagi dalam siasatan,” ujar kenyataan sama.



Sementara itu, tujuh kes lain dicatatkan di Miri. Daripada jumlah tersebut, dua kes adalah merupakan individu yang mempunyai kontak rapat kepada Kluster Greenhill di Kuching. Ini berdasarkan sejarah perjalanan mereka ke bandar raya berkenaan pada 23 Oktober hingga 25 Oktober 2020.

“Kes-kes ini dikategorikan sebagai kes yang mendapat jangkitan di luar daerah iaitu Import C,” tambah JPBN Sarawak.

BACA : COVID-19: Virus dari Kluster Greenhill mudah berjangkit - Dr Sim Kui Hian

Selain itu, dua kes lagi melibatkan petugas kesihatan di Miri. Manakala dua kes lain adalah merupakan individu yang telah menjalani saringan pesakit bergejala (SARI).

“Keempat-empat kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan kerana mereka tidak mempunyai sejarah perjalanan di kawasan berisiko tinggi. Puncanya masih belum dikenal pasti,” dedah kenyataan sama.

Antara lain, JPBN Sarawak turut menambah terdapat satu kes melibatkan individu yang pulang dari kawasan berisiko jangkitan iaitu Labuan.

“Kes merupakan seorang suri rumah dan dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Miri pada 10 Oktober 2020.

“Individu ini telah melengkapkan tempoh kuarantin wajib 14 hari yang berakhir pada 23 Oktober,” ujar JPBN Sarawak.

Walau bagaimanapun, kes dilaporkan mengalami gejala setelah selesai menjalani kuarantin. Hasil saringan ujian yang dijalankan di Miri pada 29 Oktober mendapati kes positif COVID-19 dan ia dikategorikan sebagai kes Import B.

Selain kes di Kuching dan Miri, JPBN Sarawak turut memberitahu, dua kes baharu COVID-19 yang direkodkan juga merangkumi daerah Lundu dan Limbang. Satu kes secara berasingan di daerah-daerah berkenaan.

“Kes di Limbang adalah merupakan petugas barisan hadapan yang mempunyai kontak dengan kes ke-755 yang dikesan pada 14 Oktober 2020.

“Kes di Lundu pula melibatkan wanita warga tempatan yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah pusat penginapan di Telok Melano, Lundu di mana terdapat kes Kluster Baki di Kuching pernah bermalam di situ pada 4 dan 5 Oktober 2020,” jelasnya.

Turut dimuatkan dalam laporan itu, JPBN Sarawak telah memutuskan untuk memperluaskan penutupan sekolah di zon merah iaitu Kuching.

Perluasan penutupan ini merangkumi tiga buah sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Samarahan.

“Sekolah-sekolah berkenaan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wira Penrissen, SMK Sungai Tapang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Wira Jaya,” tegas kenyataan itu.

Untuk rekod, penutupan Institusi Pendidikan di kawasan zon merah tersebut bermula dari 2 November 2020 sehingga 13 November 2020 depan.

BACA : 209 institusi pendidikan di zon merah Kuching ditutup mulai esok - KPM

Setakat ini, Sarawak secara keseluruhannya telah merekodkan 872 kes dengan jumlah kematian kekal 19 orang.