KUALA LUMPUR : Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) melepasi hari ke-100 semalam sejak pelaksanaannya bermula 24 Februari lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi ucapan khas berhubung perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada Sabtu menggariskan 10 mesej utama.

Berikut adalah 10 mesej utama dalam memudahkan dan mempercepatkan program vaksinasi negara;

1. Kadar vaksinasi dos pertama Malaysia antara tertinggi di Asia Tenggara

Jelas Muhyiddin, sehingga hari ini, lebih 3 juta suntikan dos vaksin dengan lebih 2 juta penerima telah menerima satu suntikan dos vaksin COVID-19. Kini kadar vaksinasi dos pertama Malaysia adalah antara tertinggi di Asia Tenggara.

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin COVID-19: Kadar vaksinasi negara antara tertinggi di Asia Tenggara

2. Lebih 300 PPV akan dibuka dalam jangka masa terdekat

Pada masa ini, lebih 280 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedang beroperasi di seluruh negara dan dijangka lebih 300 PPV lagi akan dibuka secepat mungkin.

Sementara itu, sebanyak 105 klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, dewan-dewan awam dan universiti serta kompleks sukan dan stadium tertutup telah beroperasi.

3. Semua aset kerajaan diarahkan bantu program pemberian vaksin

Perdana Menteri sudah mengarahkan semua Kementerian dan Agensi Kerajaan yang terlibat agar menggunakan semua aset Kerajaan bagi mempermudahkan untuk mereka mendapat vaksin.

4. JKJAV tambah baik proses pendaftaran vaksin

Beliau pada masa sama meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk melihat semula proses pendaftaran vaksin agar dapat dipermudahkan lagi.

5. JKJAV akan pertimbang cadangan pendaftaran automatik vaksinasi

Ini termasuk cadangan melaksanakan proses pendaftaran secara automatik bagi memastikan seramai mungkin rakyat divaksinasi.

6. PM seru rakyat Malaysia daftar sebagai sukaralewan bantu program vaksinansi

Rakyat Malaysia diseru agar tampil ke hadapan hadapan sebagai sukarelawan untuk membantu melancarkan proses pemberian vaksin. Golongan belia serta badan bukan kerajaan dialu-alukan untuk menyumbang tenaga dan masa bagi menjayakan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin COVID-19: PM seru lebih ramai sukarelawan sumbang tenaga jayakan PICK

7. Kerajaan fokus permudahkan rakyat terima vaksinasi

Bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam program vaksinasi ini, kerajaan telah melancarkan unit-unit vaksinasi bergerak ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman untuk memudahkan proses vaksinasi kepada penduduk kampung, orang asli, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan gelandangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin COVID-19: Usaha berterusan kerajaan mempercepatkan sasaran imuniti kelompok

8. Kerajaan komited tambah baik program vaksinasi dari semasa ke semasa

Muhyiddin akui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dan namun beliau memberi komitmen bahawa kerajaan akan sentiasa menambahbaik program ini dari semasa ke semasa.

9. 16 juta dos vaksin akan diterima dalam 2 bulan ini

Untuk tempoh dua bulan akan datang, negara akan menerima sekitar 16 juta dos vaksin COVID-19. Dengan pertambahan bekalan vaksin ini, kerajaan menyasarkan kadar vaksinasi harian akan mencecah 150,000 pada bulan ini dan angka ini akan terus meningkat.

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin COVID-19: 16 juta dos bakal diterima dalam tempoh dua bulan akan datang

10. Kerajaan beri jaminan tiada golongan tertinggal

Peningkatan kapasiti Pusat Pemberian Vaksin diharapkan mampu memberi vaksin kepada lebih ramai penduduk, seterusnya mempercepatkan usaha kita untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.