KOTA KINABALU:Kerajaan diminta mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai sedia ada susulan kesan pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

Pertimbangan itu ditagih khususnya oleh golongan peniaga yang berkata mereka terkesan dengan situasi ekonomi semasa.

Seorang peniaga kain di Kota Kinabalu, Lim Tiew Lan, 67, menggesa agar penurunan kadar pembayaran cukai tersebut dilaksanakan kerajaan secepat mungkin.

"Dalam situasi COVID-19 ini saya hendak minta kerajaan turunkan cukai.

"Sekarang ini semua peniaga kurang pendapatan kerana tiada pelanggan sebab rakyat juga sedang susah, kalau dapat untung RM100 sehari mana cukup untuk bayar pekerja dan sewa.

"Bukan macam dahulu, sekarang semua orang susah, daripada 15 buah kedai di kawasan ini hanya tiga dan empat buah kedai sahaja bertahan dan kalau jual makanan pun tiada pelanggan," katanya yang ditemui dalam tinjauan peniaga di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Lim Tiew Lan, 67

Menurut seorang bekas ejen pelancongan, Mohd Aidil Polian, 37, kerajaan negeri khususnya perlu memikirkan sesuatu bagi membantu golongan penganggur di negeri itu yang kini dilaporkan semakin meningkat.

"Memandangkan ekonomi negara semakin merudum jadi khususnya kami di Sabah ini dengan barang mahal dan kos sara hidup pun mahal, jadi mungkin kerajaan boleh fikirkan sesuatu.

"Kalau mahu mengharapkan bantuan duit saja pun tidak boleh juga sebab semua duit itu pun dari duit kerajaan dan duit kerajaan negeri, jadi mungkin pihak kerajaan boleh mengambil inisiatif lain seperti menyediakan peluang  pekerjaan untuk tempoh sementara bagi membantu rakyat mendapatkan sumber kewangan bagi menyara hidup sementara tamat tempoh COVID-19 ini. 

Mohd Aidil Polian, 37

"Kalau macam kami yang kerja bahagian pelancongan ni sudah awal-awal lagi gulung tikar, kami tiada kerja lain dan sekarang kami buat apa yang kami mampu buat untuk sara hidup," katanya yang kini mengambil upah sebagai penghantar makanan "Panda Walker".

Mengikut data yang diperoleh dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kehilangan pekerjaan di negara ini yang merangkumi negeri Sabah telah meningkat sebanyak 42 peratus untuk suku pertama tahun ini susulan pandemik itu.