KUCHING:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menetapkan garis panduan baharu berhubung jumlah kehadiran ke upacara pengebumian di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu.

Keputusan dicapai selepas mengambil iktibar daripada peningkatan kes yang mendadak melibatkan Kluster Pasai di Sibu ketika ini.

Menurut Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bagi kawasan PKPB di negeri itu, hanya 50 orang maksimum sahaja dibenarkan menghadiri upacara dan maksimum 30 orang sahaja di tapak pengebumian.

Manakala bagi kawasan yang dikenakan PKP, hanya keluarga terdekat dibenarkan menghadiri upacara dan berada di tapak pengebumian.

“Saya tahu isu ini merupakan isu sensitif namun dalam keadaan sebegini di mana angka kes positif terus mencatatkan tiga angka dan ada pertambahan kes dilaporkan dari upacara pengkebumian.

“Saya merayu kepada mereka di kawasan terlibat dan berharap pihak keluarga terlibat memahami situasi ini dan kami sendiri di JPBN Sarawak juga menghadapi saat sukar ketika membuat keputusan ini,” kata Uggah.

BACA: COVID-19: 229 kes positif baharu, angka tertinggi di Sarawak setakat ini

Tambahnya, prosedur operasi standard (SOP) upacara pengebumian ini boleh dirujuk di laman web Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Selain itu, semua pergerakan keluar dan masuk di semua 15 kawasan zon hijau di Sarawak akan terus diperketatkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tiada kes positif dilaporkan di kawasan terlibat.

Sementara semua majlis sosial dan keramaian di kampung dan rumah panjang juga tidak dibenarkan.