KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seharusnya tidak ada lagi perubahan dan perlu konsisten.

Itu antara satu daripada tiga cadangan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang perlu diberikan keutamaan untuk Malaysia keluar daripada 'paradoks pandemik COVID-19'.

Menteri Luar itu berkata, perubahan SOP yang tidak perlu akan membahayakan semua perkara yang telah dicapai setakat ini.

"Kedua, memperluas vaksinasi bagi menangani kebimbangan rakyat susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19.

"Setakat ini, Malaysia hanya meluluskan penggunaan Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca namun, banyak negara lain telah meluluskan vaksin lain dalam program vaksinasi mereka.

"Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan Johnson & Johnson, Moderna dan Sinopharm untuk kegunaan kecemasan di seluruh dunia. Sudah tentu kesemua ini tidak ada masalah," katanya dalam artikel laman Blog H20 bertajuk 'Managing an Unprecedented Pandemik', pada Ahad.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau memahami pihak berkuasa perlu menjalani kajian sewajarnya.

"Namun kita tidak boleh mengikut SOP normal dalam suasana yang tidak normal, justeru agensi-agensi kita mesti seiring dengan badan antarabangsa yang lain dalam mengeluarkan kelulusan kecemasan dengan pantas.

"Ramai rakan Malaysia di seluruh dunia menawarkan untuk membantu perkara ini tetapi di sinilah birokrasi tetap menjadi penghalang utama pelaksanaannya.

"Tawaran pertolongan mesti dipenuhi dengan semangat dan bukan keengganan namun beban tetap ada pada kita di kementerian sama ada untuk menerima atau menolak bantuan," ujarnya.

Jelasnya, sekiranya tawaran itu tidak dipenuhi dengan semangat dan positif, di dalamnya terdapat risiko membahayakan hubungan diplomatik atau lebih buruk lagi integriti negara dipersoal di peringkat global dan ini bukan risiko yang wajar diambil.

Cadangan terakhir Hishammuddin ialah berkaitan ujian saringan COVID-19 besar-besaran.

"Pakar kesihatan dan pemimpin politik juga meminta ujian saringan besar-besaran dilaksanakan agar membolehkan kita menyaring, mengesan dan mengasingkan dengan pantas untuk pengurusan wabak lebih baik di seluruh negara.

"Tetapi untuk mencapai ini, kita memerlukan rancangan meningkatkan keupayaan makmal kita, menghasilkan lebih banyak 'test kit' atau memberi subsidi kepada orang ramai," jelasnya.

Seterusnya, Hishammuddin berkata, untuk melaksanakan transformasi strategi pengurusan COVID-19 memerlukan keseluruhan pendekatan kerajaan.

"Kita selalu mengendalikan dengan baik pada masa lalu dan ini dapat dikaitkan dengan institusi tanpa kompromi namun sayangnya sistem kita tidak begitu kuat sehingga kita menjadi agak tidak fleksibel sekarang.

"Kita sedang berperang dan ini adalah krisis yang belum pernah terjadi sebelum ini, apa yang kita perlukan ialah kelincahan dan fleksibiliti dalam pemerintahan untuk menyesuaikan diri dengan cepat dalam membuat keputusan yang pantas.

"Tragedi terbesar bagi Malaysia ialah kita tidak dapat memikirkan kesilapan dan kelemahan kita sendiri serta kita mesti berusaha untuk tidak mengulanginya," tambah Hishammuddin.

Menteri Luar itu berkata, sekiranya tiada perubahan lebih baik, bagaimana negara akan menghadapi lebih banyak cabaran dalam era pasca-wabak.

"Ini termasuk mutasi baharu, masa depan pendidikan anak-anak kita, keadaan kesihatan mental serta nasib ekonomi kita?

"Kita mungkin belum melihat yang terburuk, tetapi kita harus tetap berwaspada dalam usaha kita bertekad untuk melakukan segala daya bekerjasama antara satu sama lain dalam mengatasi virus membawa maut ini," tegas beliau lagi