KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi keutamaan pemberian vaksin COVID-19 kepada rakyat negara ini yang menderma darah lebih daripada 50 kali.

Menteri Kesihatah, Datuk Seri Dr Adham Baba menjelaskan, ia selepas permintaan penderma darah untuk diberi keutamaan menerima vaksin menjelang fasa dua tidak lama lagi

"Untuk kategori penderma darah kita rencanakan vaksin awal, mereka yang telah menderma darah lebih 50 kali kita akan beri mereka tampil untuk diberi vaksinasi awal Fasa 2.

"Atau kalau mereka 60 tahun ke atas atau mereka ada comorbid, tidak derma darah, jadi mereka boleh dapatkan vaksin sebagai insentif kerana kebaikan mereka menyumbang kepada negara terutama sekali mereka yang memerlukan transfusi darah," katanya semasa sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Darah Negara pada Jumaat.

Dalam pada itu kata Dr Adham, statistik menunjukkan sebanyak 652,671 beg darah didermakan sepanjang 2020 iaitu penurunan 12.3 peratus berbanding 2019.

Jelasnya, jumlah pendermaan darah juga akan berkurang menjelang Ramadan nanti.

Sementara itu ujarnya, pihaknya sedang mengkaji keperluan mengkomersialkan sistem pengurusan bank darah, iBloodLinQ, yang meliputi data penderma dan pelbagai aspek bekalan stok darah.

Sistem itu memudahkan pengurusan bank darah, termasuk keperluan kumpulan darah, pendaftaran penderma dan kakitangan pusat bank darah.