KUALA LUMPUR: Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia 2023 naik tiga mata kepada 50 mata, berbanding 47 mata pada 2022.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan berkata, skor itu meletakkan Malaysia di kedudukan 57 daripada keseluruhan 180 negara, berbanding tangga 61 pada 2022.

Dari segi kedudukan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekod skor 83, dan berada di tangga kelima daripada 180 negara.

Berada di tangga teratas ialah Denmark, diikuti Finland, New Zealand, dan Norway.

Berdasarkan skor CPI, lebih tinggi skor direkodkan, lebih bersih sesebuah negara daripada amalan rasuah manakala lebih rendah skor bermaksud lebih tinggi kes rasuah berlaku.

TI-M menjelaskan, antara kemungkinan faktor lantunan skor tersebut adalah peranan SPRM dan Peguam Negara dalam pendakwaan dua bekas Perdana Menteri dan sabitan bekas Perdana Menteri dalam kes rasuah SRC International menunjukkan kebebasan kehakiman di Malaysia dan kedudukan Malaysia di tangga 40 dalam Indeks Demokratik oleh Unit Perisikan Ekonomi pada 2022, dengan skor 7.3/10.

Turut menjadi faktor ialah di sebalik ketidakstabilan politik, penyertaan pengundi lebih tinggi disebabkan oleh Undi 18, serta peralihan kuasa yang lancar selepas PRU 14 dan PRU 15, yang menunjukkan bahawa prinsip demokrasi masih wujud dan dihormati.

Selain itu, arahan Perdana Menteri untuk meningkatkan Kod Tadbir Urus Negara, siasatan semasa mengenai kekayaan (bekas) ahli politik yang tidak didedahkan dan penetapan skor sasaran CPI kebangsaan dalam 10 tahun pula dilihat aspek perkembangan positif dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, TI-M turut menggariskan beberapa kelemahan yang harus dititikberatkan, iaitu kelemahan kepada kesinambungan berterusan amalan tadbir urus yang baik dan perkembangan yang perlahan terhadap kemajuan dan pembaharuan perundangan berkaitan tadbir urus yang dijanjikan.

Ini termasuklah pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, pembentangan Rang Undang-undang Ombudsman, Akta Pembiayaan Politik yang masih belum diluluskan, pembaharuan SPRM bagi mewujudkan agensi antirasuah yang bebas sepenuhnya, dan pemisahan kuasa, peranan dan pelantikan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

"Tidak banyak perkembangan dan pembaharuan positif yang ditunjukkan oleh Kerajaan selepas lebih setahun memerintah kecuali kepada beberapa perkara yang dinyatakan sebelum ini.

"Mungkin kerajaan perlu melihat semula kepada inisiatif-inisiatif dalam manifesto pilihan raya lalu yang tidak diberi keutamaan.

"Tidak dinafikan bahawa sumber kerajaan adalah terhad, namun perlu diingat bahawa jangkaan rakyat terhadap kerajaan adalah tinggi dan sehingga hari ini ianya masih belum dipenuhi dari segi tindakan yang diisytiharkan oleh kerajaan.

"Bagi Malaysia untuk menunjukkan peningkatan berterusan dalam skor CPI dan mencapai visi yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, kerajaan Madani harus mempercepatkan pembaharuan institusi dan perundangan kerana mereka kini berada dalam persekitaran politik yang stabil dan mempunyai majoriti bekerja di parlimen," katanya.