Cuaca mendung di beberapa tempat di seluruh negara pagi ini tidak menghalang umat Islam untuk beramai-ramai menunaikan solat sunat Aidiladha sebelum melaksanakan ibadah korban.
Ribuan warga kota dan warga asing memulakan sambutan Aidiladha dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di sini.
Jemaah bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapha bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat itu yang diimamkan Timbalan Imam Besar Masjid Negara Mohamad Mohd Zin.
LIHAT GALERI FOTO SAMBUTAN AIDILADHA DI SELURUH NEGARA
Mohamad, ketika menyampaikan khutbah bertajuk 'Aidiladha: Pengorbanan Yang Sejati', menyeru umat Islam supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap segala ancaman yang boleh membawa kepada kesesatan akidah dan kecelaruan pemikiran serta kelemahan umat Islam.
"Ini selari dengan tujuan agama Islam itu disyariatkan iaitu untuk memelihara kesucian ajaran Islam dan menyelamatkan umatnya daripada terpesong dan terpengaruh dengan ajaran atau akidah yang menyalahi syariat Islamiah," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata penyalahgunaan teknologi internet dan telekomunikasi adalah bertentangan dengan tuntutan agama, undang-undang serta tatasusila masyarakat.
Katanya menggunakan laman sosial untuk melemahkan pegangan umat Islam merupakan strategi licik musuh Islam untuk menjatuhkan Islam.
"Hari ini sekali lagi kita melihat umat Islam diserang daripada segenap arah dan cara, daripada serangan berbentuk fizikal hinggalah kepada serangan pemikiran, politik, ekonomi, budaya dan sebagainya.
"Isu menghina Allah SWT, menghina Rasulullah SAW, menghina ibadah orang Islam, menghina Islam dengan menulis ayat-ayat suci pada pakaian, kasut, selipar, beg, jubin rumah, tatu badan dan lain-lain, cercaan terhadap sensitiviti Islam, orang Melayu dan institusi Raja secara viral disebarkan secara meluas di alam siber," katanya.
Sehubungan itu, Mohamad berkata adalah menjadi tugas dan tanggungjawab umat Islam untuk menggunakan apa sahaja strategi yang munasabah termasuk media sosial bagi menangkis segala serangan, propaganda, tipu muslihat musuh Islam dan gerakan yang menggugat kedudukan Islam.
Di ALOR SETAR, Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah merupakan antara ribuan umat Islam yang menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir di sini.
Turut berangkat Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Sallehhuddin Sultan Badlishah, yang merupakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah.
Hadir sama menunaikan solat sunat yang diimamkan Imam Besar Masjid Zahir Syeikh Roslan Abdul Halim itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Di SHAH ALAM, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Solat sunat dengan hampir 10,000 jemaaah itu turut disertai Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan diimamkan Mufti Selangor Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid.
Sebanyak 34 ekor lembu dikorbankan bermula dari pukul 10 pagi ini membabitkan kerjasama umat Islam yang menetap di kawasan sekitar.
Di IPOH, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Musa Mahadi.
Turut sama ialah Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Selain masjid di kawasan penempatan masyarakat di seluruh negeri, badan kerajaan seperti Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut juga mengerjakan ibadah korban hari ini dengan 12 ekor lembu di Masjid An-Nur.
Masjid Muhammadiah atau lebih dikenali sebagai Masjid Cina di Taman Tasek Jaya, di sini bersama-sama saudara baru dan masyarakat setempat juga mengerjakan ibadah korban dengan lima ekor lembu dan seekor kambing.
Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 umat Islam di Masjid Negeri Pulau Pinang.
Majlis korban turut diadakan di perkarangan masjid yang melibatkan 15 ekor lembu sumbangan Jemaah Masjid negeri dan lima ekor lagi sumbangan penduduk sekitar.
Di KOTA BHARU, Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra menunaikan solat Aidiladha di masjid negeri, Masjid Muhammadi.
Hadir sama menunaikan solat sunat itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Baginda kemudiannya berangkat ke Majlis Penghadapan di Istana Balai Besar di sini untuk bertemu rakyat jelata di istana itu.
Selepas itu baginda menziarahi Makam D'Raja Langgar dan esok pula baginda akan berangkat ke Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini untuk menyempurnakan ibadah korban.
Mustapa dan Ahmad turut melakukan ibadah korban di kediaman masing-masing di Darul Falah, Tanah Merah dan Pasir Pekan, Tumpat.
Di PUTRAJAYA, Parlimen Putrajaya menyumbangkan 59 ekor lembu untuk ibadah korban tahun ini, termasuk empat ekor lembu sumbangan Kementerian Wilayah Persekutuan, di perkarangan Apartmen Putra Harmoni, Presint 9.
Setiausaha Bahagian Umno Putrajaya Sokri Shafee berkata Korban Perdana yang disusuli kenduri rakyat itu disertai lebih 2,000 warga Putrajaya.
Meskipun cuti kali ini agak panjang, Shokri berkata terdapat warga Putrajaya yang tidak pulang ke kampung dan menyertai program itu bagi menghayati erti sebenar ibadah korban selain merapatkan silaturahim.
Di KUALA TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 2,000 umat Islam di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang.
Turut bersama baginda menunaikan solat sunat ialah Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan kerabat-kerabat diraja.
Di KUANTAN, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyertai kira-kira 1,000 hadirin bersembahyang sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan.
Solat sunat Aidiladha tersebut diimamkan oleh Imam 1 Masjid Tengku Ampuan Afzan, Mohd Zainudin Zakaria.
Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob serta Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim di Bukit Palah.
Empat belas ekor lembu dikorbankan di perkarangan masjid sebelum daging korban diagihkan kepada orang ramai oleh Mohd Khalil dan Idris.
Hujan dilaporkan berlaku di beberapa tempat pada sebelah pagi di negeri ini.
Di JOHOR BHARU, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim bersama adinda baginda Tunku Temenggong Tunku Idris Iskandar dan Tunku Abu Bakar menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 5,000 umat Islam di Masjid Sultan Abu Bakar.
Turut menunaikan solat yang diimamkan Datuk Mahat Said ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta barisan Exco kerajaan negeri.
Di KUALA PILAH, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek dan kira-kira 2,000 jemaah yang lain.
Baginda kemudian menziarahi Makam Diraja yang terletak bersebelahan masjid itu bagi menyempurnakan majlis tahlil dan kemudian menyaksikan ibadah korban selain mengadakan majlis istana terbuka di Istana Besar Seri Menanti.
Di KUCHING, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha bersama ribuan umat Islam di Masjid Jamek, Petra Jaya.
Turut hadir Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan isteri Puan Sri Jamilah Anu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Asfia Awang Nassar serta beberapa menteri kabinet negeri.
Mengikut jadual yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Negeri, beberapa majlis ibadah korban turut diadakan di sekitar bandar raya ini antaranya di Masjid Solahuddin Al-Ayyubi Kem Penrissen anjuran Markas 1 Divisyen, dan di Institut Kemahiran Islam Malaysia, Telaga Air anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Sarawak.
Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni diiringi Mufti Negeri Ustaz Bungsu Aziz Jaafar menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 12,000 umat Islam di Masjid Negeri di sini.
Solat sunat itu diimamkan Imam Besar Ibrahim Qisab yang kemudian menyampaikan khutbah bertajuk 'Menggilap Semangat Korban'.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pula menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sungai Manila, Pekan Muhibbah, Batu 12 di Sandakan.
Hujan tidak menghalang penduduk umat Islam di negeri ini meneruskan ibadah korban selain menziarahi sanak saudara terdekat bagi mengeratkan silaturahim.
Bernama
Sun Oct 05 2014
Lebih 14,000 warga kota dan warga asing memulakan sambutan Aidiladha dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara. - Foto Bernama
Pemandu Mercedez terbakar, suspek langgar lari motosikal?
Pemandu kereta Mercedez Benz 45 yang terbakar di tol Wangsa Maju pada petang Ahad juga merupakan dalang kepada insiden langgar lari sebuah motosikal di Lebuhraya SPE dan telah dikenal pasti pihak polis. Perkara itu seperti yang disahkan oleh kakak mangsa Syahrizah Saini ketika dihubungi Astro AWANI yang turut memaklumkan bahawa adiknya kini dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur.
Gempa bumi dengan magnitud 6.1 gegarkan Kepulauan Tonga - GFZ
Satu gempa bumi dengan magnitud 6.1 menggegarkan Kepulauan Tonga pada pukul 1503 GMT, Ahad.
Menjelajah bawah tanah untuk 'shopping' Krismas
Musim perayaan hujung tahun tidak dinafikan menjadi musim yang paling mengujakan buat penduduk dunia. Manakan tidak, ada pelbagai acara, persembahan, hiasan berwarna warni, serta pengalaman beli-belah istimewa menanti peminat 'kaki shopping'. Di Jerman misalnya, tampil dengan kelainan tersendiri...iaitu? bazaar Krismas bawah tanah.
Presiden Yoon ingkar perintah hadir, pendakwaan akan kemuka perintah kedua
Pendakwa Raya Korea Selatan mengesahkan bahawa Presiden Yoon Suk Yeol gagal mematuhi perintah hadir yang dikeluarkan pada Ahad, sambil menambah bahawa satu lagi perintah akan dihantar tidak lama lagi.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 15 Disember 2024.
Tumpuan Isnin – 16 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Tiga lagi suspek kes bunuh lelaki di pangsapuri direman
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi ketika mengesahkan penahanan tersebut berkata, kesemua suspek rakyat tempatan, berusia antara 32 hingga 48 tahun dan ditangkap di lokasi berbeza. #AWANInews
Lima anggota 'Bali Nine' sudah kembali ke Australia
Lima anggota 'Bali Nine' yang menjalani hukuman pemenjaraan seumur hidup di Indonesia sudah dipindahkan ke negara asal mereka, Australia. Perkara itu seperti yang disahkan Perdana Menteri Anthony Albanese yang memaklumkan lima warganya itu yang diberkas pihak berkuasa dalam kegiatan penyeludupan dadah di pulau peranginan terkenal, Bali pada April 2005.
Lima maut, puluhan migran hilang di Pulau Gavdos
Lima individu terkorban dalam kejadian bot migran yang terbalik di perairan Greece awal pagi Sabtu. Menurut Kementerian Luar Pakistan pada Ahad, 47 warganya dapat diselamatkan dalam tragedi yang berlaku berhampiran Pulau Gavdos di selatan Crete itu.
Parti pemerintah Korea tolak cadangan badan perundingan
Ketua Whip Parti Kuasa Rakyat Korea Selatan, Kweon Seong-dong, pada Ahad menegaskan bahawa parti pemerintah telah menolak cadangan parti pembangkang utama untuk menubuhkan badan perundingan bagi menstabilkan pentadbiran negara
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 27 September ini
Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini menetapkan Perhimpunan Agung Tahunan parti itu akan diadakan pada 27 September ini.
Persiapan menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2015 berjalan lancar - Ab Rauf
Datuk Ab Rauf Yusoh berkata persiapan bagi acara di dalam & di luar dewan bagi perasmian PAU ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada Rabu & Perhimpunan Agung UMNO Khamis juga lancar.