KUALA LUMPUR: Cuaca panas dan kurang hujan dijangka berterusan di kebanyakan kawasan di Borneo termasuk Sarawak hingga 20 Ogos ini, yang berpotensi meningkatkan risiko jerebu dan menjejaskan jarak penglihatan terutama di selatan Sarawak.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan keadaan itu dipengaruhi angin dari arah selatan serta bilangan titik panas yang masih tinggi di Borneo.
Sehingga 10 pagi tadi, sebanyak 10 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), dengan majoriti lokasi berkenaan di Sarawak.
Sementara itu, MetMalaysia dalam kenyataan berasingan mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hingga 1 tengah hari ini.
Amaran sama turut melibatkan beberapa kawasan di Perak iaitu Kerian, Selama, Larut Matang, Manjung dan Bagan Datuk, serta Selangor membabitkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Gombak dan Hulu Selangor.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat cuaca dan amaran terkini menerusi laman web, media sosial rasmi MetMalaysia serta aplikasi myCuaca.
-- BERNAMA