Skip to main content

Bisnes

Inflasi keseluruhan Malaysia 2026 diunjur pada 1.5 hingga 2.5 peratus - BNM

71740634053_BNM.jpg
Bank pusat itu berkata data inflasi terkini dan penunjuk berfrekuensi tinggi terus menunjukkan kenaikan harga pengguna yang sederhana. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Inflasi keseluruhan Malaysia diunjurkan berpurata antara 1.5 peratus dan 2.5 peratus pada 2026, dengan tekanan kos luaran berkaitan konflik Asia Barat dijangka memberi kesan yang terkawal, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu berkata data inflasi terkini dan penunjuk berfrekuensi tinggi terus menunjukkan kenaikan harga pengguna yang sederhana.

"Walaupun tekanan kos luaran susulan konflik di Asia Barat dijangka memberikan sedikit tekanan menaik kepada harga, kesan keseluruhannya terhadap inflasi pada 2026 dijangka kekal terkawal.

"Langkah dasar dalam negeri seperti subsidi bahan api bersasar serta keadaan permintaan yang stabil dijangka dapat mengehadkan pemindahan kos global yang lebih tinggi kepada harga dalam negeri," kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut BNM, inflasi keseluruhan Malaysia meningkat kepada 1.9 peratus pada suku kedua 2026 daripada 1.6 peratus pada suku pertama 2026, manakala inflasi teras menurun kepada 1.9 peratus daripada 2.1 peratus sebelumnya.

Bank pusat itu berkata peningkatan inflasi keseluruhan sebahagian besarnya mencerminkan tekanan kos luaran yang lebih tinggi susulan konflik di Asia Barat.

"Harga bahan api, khususnya RON97 dan diesel, meningkat sepanjang suku tersebut sekali gus menyebabkan inflasi bahan api yang lebih tinggi kepada lima peratus daripada negatif 1.5 peratus pada suku pertama 2026.

"Walaupun tekanan kos pengeluar meningkat, tekanan tersebut kekal tertumpu pada peringkat huluan, dengan kesan limpahan terhad kepada peringkat pengeluaran seterusnya dan harga pengguna secara meluas sepanjang pada suku berkenaan,” katanya.

Sementara itu, BNM berkata inflasi teras mereda terutamanya disebabkan terutamanya oleh penurunan inflasi barang kemas dan jam tangan (23.7 peratus) serta sewa (1.4 peratus).

“Tahap rebakan inflasi, yang diukur berdasarkan bahagian item indeks harga pengguna yang mencatat kenaikan bulanan, meningkat kepada 45.5 peratus pada suku berkenaan, menghampiri purata yang pernah dicatatkan sebelum ini iaitu 45.6 peratus.

"Peningkatan ini didorong terutamanya oleh kenaikan ketara pada April sebelum kembali sederhana pada Mei dan Jun,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement