ALOR SETAR: Cuaca panas dengan suhu mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius di negeri ini memaksa penternak dan pesawah lebih berhati-hati dalam menjalankan aktiviti penternakan serta pertanian.

Bagi penternak lembu, Mahadi Hasan, 45, keadaan cuaca panas yang melampau khususnya pada tengah hari menyebabkannya perlu memberi tumpuan yang lebih dalam soal penjagaan haiwan berkenaan.

"Keadaan panas sekarang menyebabkan saya perlu memandikan lembu-lembu dua kali sehari. Saya juga perlu pastikan ternakan tidak terdedah terlalu lama terhadap cuaca panas dan bawa ke tempat teduh.

"Kalau sebelum ini, lembu-lembu hanya mandi sekali pada waktu petang, tapi dalam cuaca panas ini perlu dimandikan dua kali sehari, pada 11 pagi dan pada petang," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Mati, Langgar dekat sini hari ini.

Mahadi berkata dia juga perlu sentiasa memastikan lembu-lembunya mendapat bekalan air yang mencukupi dan kekal hidrasi bagi mengelak sebarang situasi yang mengancam kesihatan ternakannya.

Dia juga perlu mengeluarkan belanja yang lebih bagi menyediakan makanan seimbang dan berkualiti untuk ternakannya memandangkan cuaca panas ketika ini turut menyebabkan rumput-rumput di kawasan ragut menjadi layu dan kering.

Sementara itu, pesawah Mohd Shukri Shafie, 62, berkata suhu panas yang tinggi sejak tiga bulan lepas menyebabkannya terpaksa mengehadkan aktiviti tanaman padi.

Menurut Mohd Shukri jika sebelum ini dia boleh bekerja hingga ke petang, namun dalam keadaan cuaca panas sekarang ini aktiviti di sawah hanya dapat dilakukan hingga 11 pagi atau 12 tengah hari sahaja.

"Pengeluaran hasil beras juga nampak berkurangan sedikit pada musim panas ini. Selain keadaan pokok padi jadi layu dan kering, serangga perosak dan penyakit mudah menyerang pokok padi," katanya.

Selain itu, katanya cuaca panas turut menjejaskan bekalan air ke kawasan sawah sehingga mengganggu aktiviti tanaman di kawasan sawahnya yang berkeluasan kira-kira 4.3 hektar di Kampung Limbong.

Semalam, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan gelombang haba berlaku di seluruh Perlis dan Pokok Sena, Kedah apabila bacaan suhu yang diklasifikasikan sebagai Tahap 2 direkodkan.

Gelombang haba atau Tahap 2 berlaku apabila suhu maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celcius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut di sesuatu kawasan.

Menurut MetMalaysia terdapat 26 kawasan di Semenanjung berada pada tahap berjaga-jaga (Tahap 1) iaitu di Kedah melibatkan Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kuala Muda, Pendang dan Kota Setar, sementara di Pulau Pinang melibatkan kawasan Timur Laut, dan Perak pula melibatkan Kampar, Kuala Kangsar dan Kinta.

-- BERNAMA