Skip to main content

Malaysia

Cubaan seludup sirip ikan yu bernilai RM8.36 juta dari Amerika Latin gagal

sirip ikan yu
Roslan (kiri) menunjukkan sirip ikan yu yang dirampas. - Gambar/ Sinar Harian
Advertisement

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka mematahkan cubaan menyeludup 5,069 kilogram (kg) sirip ikan yu dianggarkan bernilai RM8.36 juta termasuk duti dan cukai susulan penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 2 Julai lepas.

Pengarahnya Roslan Yusoff berkata 180 guni berisi sirip ikan yu yang dirampas itu dipercayai diimport dari Guyana, sebuah negara di Amerika Latin, untuk pasaran tempatan.

"Pemeriksaan oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka bersama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat kira-kira 12 tengah hari itu mendapati dagangan dalam kontena berkenaan diikrarkan sebagai fish skin (kulit ikan) yang dikenakan cukai lima peratus.

"Bagaimanapun pemeriksaan fizikal mendapati kontena itu sebenarnya mengandungi 180 guni berisi 5,069 kg sirip ikan yu yang tertakluk kepada cukai 10 peratus," katanya pada sidang akhbar di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Roslan berkata sirip yu tersebut juga memerlukan pemeriksaan dan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Perikanan Malaysia selaras dengan peruntukan Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES).

Katanya, nilai sirip ikan yu yang dirampas dianggarkan RM7.6 juta, manakala jumlah duti dan cukai yang terlibat ialah RM760,275.18, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM8.36 juta.

Susulan rampasan itu, kontena berkenaan disita manakala seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang mewakili syarikat ejen penghantaran serta bertanggungjawab menguruskan dokumen pengikraran dagangan ditahan bagi membantu siasatan.

"Syarikat pengimport yang beralamat di Selangor turut dikenal pasti, namun pengarah syarikat berkenaan sedang dikesan bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati dagangan itu gagal diikrarkan dengan betul bagi mengelak pemeriksaan MAQIS selain mengelak pembayaran cukai sebenar," katanya.

Roslan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang tak berkastam atau barang larangan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement