KUALA LUMPUR: Susulan penularan klip video lama yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial, pengendali akaun media sosial MyNewsHub telah dihubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk dirakamkan keterangan.

Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, MCMC berkata, pihaknya memandang serius penularan video tersebut, dengan kapsyen "Tanya pasal kuarters jer dh kene mcm tu depan KSN !!", yang dilihat berniat untuk membina persepsi negatif terhadap penjawat awam.

MCMC berkata, berdasarkan kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), video tersebut merupakan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu,” menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu media melaporkan, tular rakaman video berdurasi 1:10 minit yang dimuat naik dengan membina persepsi seolah-olah hak pegawai awam yang bertanya kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali Itu telah dinafikan dan dihalang oleh sekumpulan polis bantuan.

‘Insiden’ itu terjadi selepas pegawai tersebut selepas bertanyakan mengenai status permohonan kuarters kerajaan yang masih belum diluluskan di dalam suatu majlis dihadiri oleh Mohd Zuki.

JPA dalam satu kenyataan awal menyifatkan, rakaman tersebut yang telah dimuat naik oleh sebuah portal telah dikongsikan dengan niat memainkan sentimen negatif terhadap kerajaan.

"JPA mengambil serius terhadap sebarang cubaan untuk melemahkan institusi perkhidmatan awam dengan memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap isu dan kebajikan pegawai awam di negara ini," kata kenyataan itu.