KEPALA BATAS: Transformasi bentuk dan rasa cucur udang yang dilakukan seorang peniaga bukan saja berjaya mengekalkan perniagaan warisan keluarga tetapi juga menjadi daya tarikan yang unik di bazar Ramadan, dekat sini.

Siti Zawiyah Ismail, 26, berkata dia mahu meneruskan legasi bapanya yang menjual cucur udang bersaiz kecil sejak 30 tahun lalu, namun menyedari persaingan juadah yang sama oleh peniaga lain memberi memberi kesan besar kepada hasil jualan mereka.

Justeru, dia memperkenalkan cucur udang dinamakan 'tapak kuda' yang bersaiz besar dan menerima sambutan hangat pelanggan.

"Saya berniaga untuk meneruskan perniagaan cucur udang warisan keluarga yang diasaskan sejak 30 tahun lalu.

"Namun disebabkan persaingan, saya perlu buat pembaharuan. Jadi saya perkenalkan cucur udang dengan nama cucur udang 'tapak kuda' yang bersaiz besar menggunakan resipi sendiri.

"Cucur udang ini yang ranggup di luar dan lembut di dalam dijual pada harga RM3 sekeping dan boleh dimakan bersama kuah kacang selain dicampur dengan rojak Singapura.

"Selain itu, ia juga boleh dijadikan bahan campuran dalam pasembor dan gadoh-gadoh iaitu menu popular di kawasan utara Semenanjung," katanya kepada Astro AWANI.

Cucur udang 'tapak kuda' yang ranggup di luar dan lembut di dalam dijual pada harga RM3 sekeping.

Menurut Siti Zawiyah, kira-kira 50 hingga 60 keping cucur udang 'tapak kuda' berjaya dijualnya sehari di bazar Ramadan sejak hari pertama berpuasa.

Katanya, ramai pelanggan memberitahu tertarik dengan saiz cucur udang itu yang besar - sesuai dengan namanya - 'tapak kuda' dan mereka suka dengan rasanya yang enak.

"Selain berniaga di bazar ramadan dan pasar malam, kami juga sedia menerima tempahan cucur udang 'tapak kuda' untuk majlis kenduri atau sebarang majlis keramaian," ujarnya.

Dapatkan waktu berbuka, imsak, kalkulator zakat, artikel menarik Ramadan di sini