Cuepacs sedang merangka kertas cadangan tentang sistem saraan baharu penjawat awam untuk dikemukakan kepada kerajaan, kata presidennya Datuk Azih Muda.

Beliau berkata Cuepacs mahu kerajaan melakukan semakan semula lima tahun terhadap gaji penjawat awam yang tidak disemak sejak 2002.

Katanya semakan semula gaji itu perlu dilakukan berikutan kenaikan harga rumah dan barangan sejak kebelakangan ini.

"Kami dengan ini ingin menegaskan kesetiaan kami kepada kerajaan yang memerintah. Kami faham tentang keadaan semasa kewangan negara, tetapi kita perlu ingat bahawa harga rumah kini terlalu tinggi bagi mereka dari gred rendah.

"Mereka yang berpendapatan RM2,000 sebulan sudah tentu tidak mampu membeli rumah berharga RM150,000 sebuah, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai banyak anak, kesudahannya mereka perlu menyewa rumah," katanya pada sidang akhbar selepas majlis taklimat pra persaraan untuk penjawat awam Labuan di sini hari ini.

Azih berkata Cuepacs berpendapat kerajaan perlu memastikan penjawat awam tidak menanggung beban yang terlalu berat untuk memberi makan minum kepada keluarga mereka dan menyediakan pendidikan untuk anak masing-masing.

"Penjawat awam perlu dipastikan berkemampuan untuk membeli rumah. Sekiranya mereka tidak berkemampuan membeli rumah semasa dalam perkhidmatan, apakah yang dapat mereka lakukan setelah bersara nanti?

"Justeru, kami (Cuepacs) akan kemukakan syor kepada kerajaan tentang kenaikan gaji 1.6 juta penjawat awam," katanya.

- BERNAMA