NATIONAL
Cukai RM313.8 juta: Isteri Daim dibenar semakan kehakiman

Mahkamah Tinggi Shah Alam benarkan permohonan Na’imah untuk semakan kehakiman batalkan tuntutan cukai RM313.8 juta oleh LHDN. - Sinar Harian
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, membenarkan permohonan isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membatalkan tuntutan cukai RM313.8 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tuntutan cukai RM313.8 juta oleh LHDN, selepas memutuskan bahawa permohonan tersebut mempunyai merit.
- Na'imah memohon semakan kehakiman terhadap taksiran cukai tambahan berhubung tahun taksiran 2018, yang didakwa tidak berasas, sambil merayu keputusan Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan.
- Mahkamah Rayuan sebelum ini memberikan penggantungan sementara kepada Na'imah sehingga pendengaran rayuan, dengan tarikh prosiding seterusnya belum ditetapkan.
Menurutnya, mahkamah menyatakan bahawa permohonan Na'imah bukanlah remeh atau menyusahkan dengan kata lain ‘frivolous or vexatious’ serta terdapat persoalan undang-undang yang perlu didengar di peringkat substantif.
“Atas dasar itu, mahkamah telah membenarkan permohonan kami untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman, namun tarikh prosiding seterusnya belum ditetapkan.
“Kami mempunyai masa selama dua minggu untuk menyampaikan notis kepada LHDN,” katanya yang hadir bersama peguam, Dharshini Sharma.
Na’imah tidak hadir untuk prosiding ini dan hanya diwakili peguam.
Dalam prosiding berkenaan, Peguam Persekutuan, Sheryn Yong hadir bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).
Pada 18 Oktober 2024, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Na'imah, 68, membayar RM313.82 juta tunggakan cukai pendapatan kepada LHDN.
Sebelum itu, pada 19 Ogos tahun sama, Na'imah telah memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap notis LHDN untuk cukai tambahan berhubung tahun taksiran 2018 tersebut.
Dalam afidavit sokongannya, Na’imah mendakwa taksiran cukai terhadapnya adalah berdasarkan tuntutan yang tidak berasas.
Pada asalnya, Hakim Mahkamah Tinggi telah menolak permohonannya untuk penangguhan interim ke atas Notis Taksiran berkenaan.
Pada ketika itu, Mahkamah mendapati, tiada keadaan luar biasa yang mewajarkan permohonan Na'imah untuk penangguhan interim, dan menekankan bahawa responden mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan kutipan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
Dalam penghakimannya, beliau berkata, pembayaran cukai mesti dibuat tanpa mengira jumlah, walaupun dalam pertikaian undang-undang yang sedang berjalan.
Lantaran itu, Na'imah telah merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan dan telah memfailkan satu Notis Usul bagi penangguhan.
Hakim-hakim Mahkamah Rayuan pada 28 Oktober tahun sama, secara sebulat suara memutuskan agar suatu penggantungan akan diberikan kepada Na'imah sehingga pendengaran rayuan kelak. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami