PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman penjara sepanjang hayat dua bekas ejen hartanah lelaki dengan pemenjaraan bagi tempoh 30 tahun bagi kesalahan menculik seorang ahli perniagaan wanita untuk mendapatkan tebusan RM2 juta pada 2015.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah bagaimanapun menolak rayuan Lew Ngee Chin dan Chin Yoon Tack@Chin Yoon Tock berhubung sabitan terhadap mereka.

Lew dikecualikan daripada hukuman sebat kerana dia berusia 50 tahun pada 2023 manakala Chin, 47, dikenakan dua kali sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan Telaha Sanchis, 42, seorang penganggur, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Vazeer berkata terdapat bukti kukuh membabitkan kes terhadap Lew dan Chin.

Beliau berkata mangsa telah secara positif mengenal pasti kedua-dua tertuduh di dalam sebuah kereta yang digunakan untuk menculiknya dan di sebuah rumah kedai di mana dia dikurung.

Menurut fakta kes, mangsa telah diculik dan dikurung di sebuah rumah kedai di Taman Bukit Anggerik, Cheras, Kuala Lumpur selama tujuh hari sebelum dibebaskan berhampiran Stesen LRT Sentul pada 16 Nov 2015 selepas wang tebusan diletakkan di satu lokasi di sepanjang Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan.

Polis kemudian menahan ketiga-tiga lelaki dan mendapatkan semula RM700,000.

-- BERNAMA