NATIONAL
Culik warga Palestin: 30 saksi pendakwaan akan beri keterangan

Perbicaraan dijadualkan bermula 7 Julai ini di Mahkamah Tinggi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes penculikan seorang lelaki warga Palestin yang dihadapi 14 individu termasuk seorang wanita yang dijadualkan bermula 7 Julai ini di Mahkamah Tinggi di sini.
Ringkasan AI
- Sebanyak 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes penculikan seorang lelaki warga Palestin yang dihadapi 14 individu termasuk seorang wanita. Perbicaraan dijadualkan bermula 7 Julai ini di Mahkamah Tinggi.
- Pada Oktober 2022, 14 individu didakwa atas pertuduhan menahan mangsa untuk mendapatkan rahsia maklumat perisian komputer. Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
- Dalam kes pengubahan wang haram, 35 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan. Tiga tertuduh berdepan 19 pertuduhan melibatkan lebih RM250,000 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram. Perbicaraan bagi kedua-dua kes ditetapkan pada 7 hingga 11 Julai ini.
Pada Oktober 2022, 14 individu berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan dengan niat bersama menahan mangsa yang berusia 31 tahun untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Mereka ialah Mohamad Norakmal Hassan, 43; Dody Junaidi, 44; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41; Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Mohd Zaidi Mohd Zain, 56; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51, dan Mohd Azwan Jamaludin, 39.
Turut didakwa Nidarahayu Zainal, 36; Raibafie Amdan, 41; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 25, dan Edy Ko'im Said, 42.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini pada 10.40 malam 28 Sept 2022 mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria memaklumkan sebanyak 35 saksi akan dipanggil dalam perbicaraan kes pengubahan wang haram dihadapi Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri, Nidarahayu serta Raibafie.
"Pernyataan saksi akan disediakan sebelum perbicaraan bermula, antara saksi yang akan memberikan keterangan ialah pegawai bank dan pemegang akaun," katanya.
Bagi kes pengubahan wang haram, ketiga-tiga tertuduh berdepan 19 pertuduhan melibatkan jumlah lebih RM250,000 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai wang terlibat atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Hakim Muniandy menetapkan 23 Mei ini untuk pengurusan kes seterusnya dan mengecualikan kehadiran kesemua tertuduh.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan bagi kedua-dua kes itu pada 7 hingga 11 Julai ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami