KUALA LUMPUR: Dua rakan masing-masing didenda RM4,000 atau dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini kerana mencuri empat kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM) membabitkan kerugian ribuan ringgit.

Majistret Chai Guan Hock menjatuhkan hukuman itu ke atas Rosdi Ahmad, 50, dan Muhammad Fakhrullah Hafiz Ahmad Hairoji, 25, selepas mereka mengaku melakukan kesalahan itu di tepi Jalan 1, Taman Selayang Baru, Batu Caves di sini pada 4.45 pagi 1 Mei lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya, boleh dipenjara dan didenda atau sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam selain kerugian yang dialami pihak TM.

Peguam Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan pula memohon hukuman ringan atas alasan kedua-dua tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tiada rekod kesalahan lampau.

"Mereka mencuri kabel tersebut kerana memerlukan duit untuk menyara kehidupan namun mereka sudah insaf," katanya.

-- BERNAMA