PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini memperkenalkan Program Cyber Copyright Enforcement (CyCORE) bagi membanteras jenayah pelanggaran hak cipta filem digital atau cetak rompak filem digital.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata melalui program itu tindakan sekatan laman sesawang atau penurunan kandungan akan dilaksanakan dalam tempoh 48 jam dari pemakluman peserta program kepada KPDNHEP.

Nanta berkata CyCORE yang dikhususkan untuk penerbit filem tempatan atau pemilik hak cipta filem tempatan, telah melalui beberapa siri pengujian dan hasil pengujian ke atas 15 filem yang telah menyertai program itu, 298 laman sesawang telah disekat dan 1,418 penurunan kandungan berjaya dilaksanakan sejak 2021.

"Kaedah tindakan sekatan laman sesawang dan penurunan kandungan menjadi kaedah yang paling pantas dan berkesan dalam melumpuhkan aktiviti pengedaran cetak rompak filem digital dengan kerjasama lebih 50 rakan-rakan strategik tanpa melibatkan institusi kehakiman," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas Majlis Aspirasi Tahun Baharu 2022 KPDNHEP di sini, Nanta berkata skop kelayakan menyertai program CyCORE itu antaranya melibatkan karya tempatan yang pertama kali dilancarkan dalam medium internet seperti platform Over The Top (OTT).

Beliau berkata program CyCORE itu antara lain untuk membantu mengurangkan kerugian kutipan fi yang dialami pemilik hak cipta semasa pelancaran filem baharu dalam bentuk digital.

Nanta berkata melalui program itu juga, pemilik hak cipta diberi tunjuk ajar dan pemahaman berhubung peranan mereka untuk membuat aduan sendiri dengan melaporkan terus pelanggaran hak cipta mereka kepada platform media sosial atau e-dagang yang menyiarkan atau menjual karya filem tanpa kebenaran.

"Ini kerana platform e-dagang dan media sosial ini mempunyai polisi harta intelek masing-masing yang akan sentiasa bekerjasama dan membantu pemilik hak cipta menurunkan mana-mana kandungan yang melanggar hak harta intelek," katanya.

Mereka yang ingin menyertai program berkenaan boleh menghubungi Unit Hak Cipta dan Cakera Optik Bahagian Penguat Kuasa di talian 03-88826157 atau melalui e-mel [email protected].

Dalam isu berasingan ketika diminta mengulas mengenai harga ikan, Nanta berkata harga ikan diakui naik di sesetengah tempat namun kementeriannya setakat ini masih belum menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga ikan.

"Kalau ada aduan kenaikan harga ikan, kita akan siasat dan memastikan punca kenaikannya.

"Kalau didapati ada unsur catutan bekalan, kita ada undang-undang berkaitan bagi membolehkan tindakan diambil. Kalau tiada unsur pencatutan, kenaikan harga dianggap berlaku secara normal disebabkan musim tengkujuh atau kekurangan bekalan ikan," katanya.

Nanta turut meminta agar pengguna menyatakan secara spesifik mengenai lokasi kenaikan harga barang ketika menyalurkan aduan bagi memudahkan penguat kuasa KPDNHEP melakukan tindakan.

Media sebelum ini melaporkan harga ikan naik tiga kali ganda di Kedah dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut tampil menjelaskan bahawa perubahan angin Monsun Timur Laut menyukarkan nelayan mendaratkan ikan, sekali gus mempengaruhi harga dan bekalan ikan di pasaran.

-- BERNAMA