Kanak-kanak di bawah usia dua tahun yang dibiar memandang skrin untuk satu jangka masa tanpa kawalan dibimbangi boleh terjejas perkembangan bahasa, skil membaca dan ingatan memori jangka pendek mereka.

Apabila meningkat umur, ia juga akan mengganggu tabiat tidur dan tumpuan mereka.

Ini semua merujuk kepada kepada satu fenomena generasi baharu, kecanduan internet dan gajet hingga ada yang melabelkannya kokain elektronik, heroin digital dan sebagainya.

Tahukah anda, disebalik kemajuan kecanggihan teknologi ini, tersembunyi impak yang membimbangkan?

Gangguan emosi

Kajian akademik pediatrik Amerika Syarikat pada 2013 mendapati kanak-kanak dan remaja negara itu menghabiskan masa 8 hingga 11 jam sehari dengan gajet.

Malah seorang daripada tiga kanak-kanak yang masih belum bertutur telah diberi telefon pintar dan tablet.

Fenomena ini dilabelkan sebagai ketagihan internet.

Di Malaysia, antara penemuan kajian mendapati penggunaan gajet berterusan boleh mengecutkan otak anak, terutamanya yang berumur di bawah tiga tahun.

Dari sisi psikologi pula, emosi mereka juga didapati turut terganggu.

Pakar Perunding Psikiatri dan Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari memberitahu, kawalan emosi anak-anak perlu ada hubung kait dengan ibu bapa.

"Maknanya kalau ada gangguan emosi mimik muka semua ini penting. Kalau kita dedah terlalu awal gajet, pembelajaran itu tidak akan berlaku, atau sangat minimum.

"Ia boleh mengganggu kemahiran sosial, malu berjumpa orang, dengan peruntukan masa banyak dengan gajet dan dia akan tertekan," kata Dr. Muhsin kepada Astro AWANI ketika ditemubual di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), baru-baru ini.



Peranan Ibu bapa

Dalam hal ini katanya, ibu bapa memainkan peranan amat penting terutama dari segi pemantauan dan had masa.

Paling penting, kawalan had masa. Ibu bapa perlu mematau rapi penggunaan gajet anak-anak agar mereka tidak terlalu ghairah.

"Penggunaan tidak melebihi dua jam dengan kawalan ketat dan mungkin setiap kali penggunaan di bawah usia 5 tahun, ibu bapa harus duduk sekali dengan anak untuk mengurangkan kebergantungan (terhadap gajet).

Sekali guna sekurang-kurangnya 10 minit sahaja," ujarnya lagi.


Tegasnya, gajet bukanlah langkah terbaik untuk mengawal dan mententeramkan anak khususnya di bawah usia empat tahun.

Turut senada, Pengarah Pusat Mata dan Lasik, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad yang memberitahu masalah mata kering boleh berlaku apabila terlalu fokus kepada skrin.

"Apabila terlalu fokus kepada skrin gajet secara langsung, kanak-kanak boleh terkena rabun jauh atau Myopia. Kajian juga menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai genetik, masalah rabun pada mereka boleh terjadi lebih awal daripada usia yang sepatutnya," katanya.


Selain itu, kanak-kanak juga berpotensi mengalamai masalah mata kering.

Ia disebabkan mata tidak berkelip untuk satu tempoh yang lama menyebabkan berlakunya penyejatan.

Prof Muhaya turut menekankan, ibu bapa perlu memberi perhatian sewajarnya kepada anak-anak dan bukannya gajet.

"Anak-anak yang tidak dapat melihat mata ibu bapa dengan kata-kata pujian dan kasih sayang akan mencari gajet yang boleh beri mereka kasih sayang," katanya.



Kesan ketagihan

Berkongsi pengalaman, ibu kepada tiga orang anak, Puan Leen bercerita, tahap ketagihan anak-anaknya terhadap permainan video hingga menyebabkan anak bongsunya yang berusia sembilan tahun terpaksa menggunakan kanta khas.

Pendedahan secara langsung cahaya skrin menyebabkan matanya terjejas.


"Dia perlukan lensa (lens) yang khas selepas diperiksa kerana terlalu fokus, terlalu tumpukan perhatian kepada telefon, iPad dan sebagainya.

"Mengikut optometris mereka mencadangkan supaya jangan terlalu tertumpu kepada mungkin cahaya yang diserlahkan daripada telefon," ujarnya.

Malah ia juga membuatkan anak-anaknya leka dan lalai.

Anak-anaknya juga menjadi anti-sosial serta kurang komunikasi.

Bagi ibu muda, Farahdeena Basheer memaklumkan dengan gajet, anaknya dapat belajar dengan cepat.

Katanya, perkembangan yang sesuatu ini yang positif dan membantu proses tumbesaran anak.

Bagaimanapun Farahdeena tidak menolak, anaknya didisplinkan supaya tidak ketagihan.

"Bila ada perkembangan macam itu, sekali sekala kita boleh bagi.

"Bila ada iPad, dia akan fokus. Dia belajar macam mana nak fokus dalam satu benda. Tapi jangan bagi lama-lama. Kita hadkan," jelasnya.

Secara am, perkembangan teknologi digital adalah sesuatu yang besar pengaruhnya.

Mahu atau tidak ia harus diterima jika tidak mahu ketinggalan.