KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai jenis dadah dan ketum bernilai RM286 juta bagi tempoh enam bulan setakat Jun tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, rampasan dibuat membabitkan 10,016 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan 1,604 liter pelbagai jenis cecair dadah.

Menurutnya, JSJN juga telah berjaya merampas sebanyak 41,431 kg daun ketum, 27,213 liter air ketum serta 20 batang pokok ganja.

"Sepanjang tempoh itu juga, JSJN telah menangkap seramai 92,257 orang di bawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

"Daripada jumlah tersebut seramai 298 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985," katanya pada Selasa.

Dalam pada itu, tambah Mohd Kamarudin, polis berjaya menumpaskan 185 sindiket dengan 572 orang diberkas selain membongkar lapan buah makmal dadah dengan enam tangkapan ke atas ahli kimia.

Katanya, bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM55.9 juta telah disita manakala sebanyak RM5.3 juta nilai harta telah dilucut hak.

Selain itu katanya, seramai 4,024 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 2,318 individu telah disabitkan kesalahan bawah seksyen yang sama," ujarnya.

Tegas beliau, JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah apabila seramai 287 orang penjawat awam telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

"Empat daripadanya ditahan bawah Seksyen 3(1) ADB LLPK 1985," jelasnya.

Katanya lagi, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 38,064 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah tersebut sebanyak 35,058 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 92.10 peratus.

Justeru, JSJN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah untuk salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222. - Sinar Harian