BUKIT MERTAJAM: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa tumpas selepas polis berjaya merampas 112 kilogram Syabu dan 26.9 kilogram heroin base bernilai RM6.5 juta dalam serbuan di Permatang Pauh dan Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Dalam serbuan pukul 2 petang Isnin lepas, seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah berusia 31 tahun ditahan berhampiran sebuah kereta yang dinaikinya di Permatang Pauh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pemeriksaan lanjut menemui dadah jenis syabu dan heroin base bernilai RM3.06 juta di dalam kenderaannya.

Menurut Razarudin, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah berkenaan.

“Pemeriksaan dalam kereta suspek menemukan syabu seberat 20 kg dan heroin base sebanyak 26.9 kg yang kesemuanya bernilai RM3.06 juta dipercayai untuk dihantar kepada pelanggan di kawasan tersebut,” kata Razarudin dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini pada Khamis.



Susulan tangkapan pertama, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah di Nibong Tebal yang dijadikan stor penyimpanan bekalan dadah yang diperoleh dari negara jiran pada jam 11.30 pagi semalam.

Razarudin berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan  termasuk mengesan ahli-ahli sindiket lain yang turut terlibat.

Kesemua syabu yang dirampas itu, kata Razarudin, dibungkus dalam bungkusan teh herba Cina bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Bungkusan ini apa yang dapati ialah berasal dari negara jiran sehinggalah sampai ke Malaysia,” ujar beliau lagi.

Kata Razarudin, polis juga masih lagi mengesan ahli sindiket pengedaran dadah itu.

Dalam serbuan itu, polis  turut menyita lima kenderaan terdiri daripada tiga buah kereta dan dua motosikal, barang kemas serta jam tangan yang kesemuanya bernilai RM65,000 untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, suspek lelaki yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan selama tujuh hari hingga Isnin depan untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.