KUALA LANGAT: Bidikan lensa kamera seorang jurugambar profesional merakam keindahan panorama di tengah-tengah hutan bakau yang berusia ratusan tahun, memecah keheningan suasana petang Taman Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang.

Berlatar belakangkan kedamaian Sungai Langat yang mengalir tenang di hujung taman, disusuli bunyi riuh kicauan pelbagai spesies burung berterbangan dan sesekali hinggap di dahan pokok bakau, pastinya menambah keasyikan kepada peminat burung serta pencinta alam.

Di satu sudut, kelihatan sekumpulan pengunjung pelbagai peringkat umur melakukan aktiviti jungle trekking, merentasi titian yang diperbuat daripada susunan kayu Resak, sesekali berhenti melihat tumbuh-tumbuhan yang hidup subur melata di kawasan paya ini.

Maka tidak hairanlah, faktor alam semula jadi menjadikan taman rekreasi ini tumpuan utama untuk mereka yang ingin menghayati kepermaian hutan bakau juga golongan anak muda yang gemarkan 'berootd' (memperaga dan merakam pakaian yang dikenakan pada hari itu/Outfit of The Day).

"Memang begini keadaannya setiap hujung minggu. Bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk kampung Sijangkang beriadah tetapi juga tumpuan orang luar yang gemarkan aktiviti lasak termasuk jungle trekking . Tidak kurang juga pasangan pengantin yang datang untuk bergambar," Ketua Komuniti Kampung (Kg) Sijangkang, Mohd Suhaimi Sanusi memberitahu Bernama.

Komuniti Kg Sijangkang ini secara asasnya ditubuhkan atas inisiatif sekumpulan 15 orang penduduk kampung ini dengan diketuai Mohd Suhaimi yang bekerja sebagai peniaga kecil, bagi memelihara kebersihan kawasan sekitar kampung termasuk kawasan hutan bakau.

Taman Rekreasi Hutan Bakau Sijangkang ini terletak kira-kira dua kilometer (km) di hujung pinggir Kg Sijangkang, Telok Panglima Garang dan lebih kurang 12 km dari arah Klang ke Banting di Kuala Langat dan mula dibuka kepada umum sejak penghujung tahun 2015.

Tarikan taman ini bukan setakat kepada keunikan pelbagai pokok bakau yang melebihi 15 jenis mahupun khazanah flora dan fauna tetapi juga titian yang diperbuat daripada susunan kayu sepanjang 1.8 kilometer yang memudahkan pengunjung menerokai keindahan panorama hutan bakau tanpa kaki dicemari selut.


DARIPADA 'WASTELAND' KE 'WETLAND'

Melihat kecantikan alam di sini, mungkin sukar untuk dipercayai bahawa kawasan ini sebelumnya adalah hutan bakau terbiar yang langsung tidak dipedulikan. Malah, dengan kedudukannya yang terletak di hujung kampung menyebabkan banyak pihak mengambil kesempatan menjadikannya tempat pembuangan sampah haram.

Lokasi kawasan berkeluasan 24 hektar yag terletak di bahagian barat daya Selangor yang sunyi tanpa sebarang penempatan dan hanya sesekali dilalui pekerja kebun kelapa sawit berdekatan serta mereka yang ingin memancing di muara Sungai Langat, sekali gus memudahkan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati mereka.

Isu sampah ini semakin memburuk dan serius sejak awal tahun 2015 apabila kawasan ini bukan sahaja menjadi tempat pembuangan sisa penduduk sekitar Sijangkang tetapi juga sisa industri pembinaan.

"Di kampung ini, tidak ada sistem pengurusan buang sampah seperti di bandar, jadi kebanyakannya sama ada ditanam di sekitar kawasan rumah atau dibakar selain ada juga yang dibuang di sini sebab kawasannya terletak di hujung kampung.

"Timbunan sampah tidaklah setinggi seperti di tapak pelupusan kerana ada orang kampung yang akan membakarnya apabila nampak semakin meninggi. Cuma, situasinya tetap kotor dan busuk sebab sisa berselerakan khususnya apabila anjing, kucing, kera mencari makanan," katanya menambah, beberapa kawasan longgokan sampah boleh dilihat sepanjang enam km ke hutan bakau berkenaan

Menurut Mohd Suhaimi, keadaan itu turut membahayakan kanak-kanak dan warga emas kerana dipenuhi ratusan sisa paku yang bertaburan, kayu pembinaan serta batu-bata, di samping risiko tinggi diserang anjing liar.

Beliau dan beberapa penduduk kampung beberapa kali menyuarakan permasalahan itu kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), memohon supaya diadakan sistem pengurusan sampah yang lestari selain membangkitkan isu sampah haram pembinaan.

Hasil aduan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan proses pembersihan beberapa kali namun pembuangan sampah haram masih lagi berlaku disebabkan tiadanya pemantauan.

Melihat isu yang tidak berkesudahan ini membuatkan Mohd Suhaimi yang sudah tinggal di kampung itu lebih 35 tahun dan beberapa penduduk nekad menggerakkan komuniti kampung untuk menangani masalah pembuangan sampah haram selain isu penebangan pokok bakau secara haram yang semakin berleluasa.



BUKAN MUDAH

"Apabila sampah sudah terlalu banyak, tidak terkawal dan tidak dilupuskan dengan baik, ada yang dibawa angin tersangkut di akar pokok bakau bahkan ada juga yang sudah sampai ke Sungai Langat sehingga menjejaskan kehidupan sumber makanan di sungai.

"Tidak mahu keadaan semakin teruk, kami mula menggerakkan satu komuniti yang dianggotai pada awalnya hanya 15 sukarelawan bergotong-royong membersihkan kawasan berkenaan sekitar bulan Ogos, 2015. Kerjasama rapat penduduk kampung dan PBT berjaya mencipta perubahan besar di situ," katanya.

Bagaimanapun, bapa kepada enam anak ini mengakui usaha memajukan kawasan berkenaan untuk dijadikan sebagai ekopelancongan tidak melalui jalan mudah kerana pelbagai rintangan termasuklah pandangan sinikal penduduk kampung serta kesukaran mendapatkan kerjasama mereka untuk turut sama membersihkan lokasi berkenaan.

"Biasalah, ada yang pandang sinis dengan usaha ini apabila ada mempersoalkan mengapa asyik ke hujung kampung sahaja kerana kami ini dikenali sebagai orang yang 'nakal' pada waktu muda selain pendidikan tidak tinggi.

"Namun, syukur kami mendapat kesedaran untuk memberikan sumbangan dengan cara begini kepada penduduk kampung melalui penjagaan alam sekitar bagi membolehkan mereka bukan sahaja dapat menikmati kehidupan sihat dengan melakukan aktiviti riadah tetapi juga meningkatkan sumber ekonomi," katanya.

Usaha yang dilakukan pada awalnya untuk menangani masalah sampah haram akhirnya membuka pintu rezeki kepada penduduk kampung apabila hutan bakau itu kini menjadi tumpuan pelancong tempatan mahupun luar negara.


DIKENALI REKREASI PENDIDIKAN

Sejak dibuka pada akhir tahun tahun 2015, taman rekreasi ini mula menjadi tumpuan syarikat korporat khususnya pada hari minggu untuk melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), antaranya menanam pokok bakau selain sekolah dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), biasanya pada hari bekerja untuk aktiviti pendidikan hutan bakau.

Malah, ia juga turut menjadi pilihan beberapa IPT tempatan dan luar negara untuk melakukan kajian hutan bakau dan perkembangan positif ini menyumbang kepada impak ekonomi penduduk sekitar sehingga menarik mereka untuk turut serta menjadi sukarelawan komuniti Kg Sijangkang.

Mahu dikenali sebagai taman rekreasi pendidikan (edu-ekopelancongan), Komuniti Kg Sijangkang turut bekerjasama dengan beberapa IPT tempatan untuk menambah baik infrastruktur dan pengetahuan berkaitan hutan bakau yang boleh digunakan semasa aktiviti pendidikan bersama pengunjung.

"Kami memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan mereka juga mempunyai beberapa makmal di sini.

"Misalnya, kami bekerjasama dengan UPM dan Jabatan Perhutanan untuk membangunkan kod bar yang diletakkan pada pokok bakau bagi membolehkan pengunjung mengenal jenis pepohon hijau di sini dengan hanya mengimbas sahaja kod bar tersebut menggunakan telefon pintar mereka," katanya.

Perkembangan positif ini menarik minat lebih ramai penduduk kampung untuk turut serta dalam Komuniti Kg Sijangkang. Daripada 15 sukarelawan, kini bertambah kepada 40 orang, meliputi pelbagai lapisan peringkat umur termasuklah lepasan sekolah dan IPT.

Mereka bukan sahaja melakukan kerja pembersihan dan pemantauan bagi memastikan tiada lagi berlakunya sampah haram tetapi ada juga yang menjadi pemandu pelancong selain memberi ceramah pendidikan kepentingan penjagaan hutan bakau kepada pengunjung.

Bagi menambahkan lagi tarikan di taman rekreasi berkenaan, beberapa kemudahan dan aktiviti disediakan termasuklah sukan desa, tapak perkhemahan, mencari siput di hutan bakau, memancing (atas permintaan) selain daripada jungle trekking dan bergambar yang boleh dilakukan pengunjung.

"Untuk sampai ke tahap ini, banyak pihak yang membantu sama ada MPKL, sumbangan syarikat korporat dan IPT bagi tujuan pemuliharaan semula ekosistem di sini serta mencantikkan kawasan hutan bakau ini sehingga menjadi taman rekreasi pendidikan untuk semua

"MPKL banyak membantu kami misalnya, bimbingan untuk menjadikan kawasan ini sebagai edu-ekopelancongan termasuklah mempromosikan tempat ini kepada agensi pelancongan untuk mereka membawa pelancong ke sini," kata Mohd Suhaimi.


PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA DAN TEMPATAN

Tidak sia-sia penat jerih hampir tujuh tahun berjaya mengubah kawasan yang sebelumnya 'kotor dan busuk' kini menjadi taman rekreasi hutan bakau yang memberi manfaat kepada semua termasuklah kelestarian alam dan meraih pelbagai pengiktirafan sama ada kebangsaan mahupun antarabangsa.

Pernah merangkul anugerah Friends of River Negeri Selangor daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Green Initiative Awards: Sijangkang Mangrove Edu-Recreation Park - From Wasteland to Wanderland" daripada MPKL sebagai pemenang platinum dalam kategori taman awam luaran serta pengiktirafan antarabangsa, Japan-Asean Integration Fund (JAIF) dan Institute of Global Environment Strategies (IGES).

"Biarpun bukan dalam bentuk wang ringgit tetapi anugerah ini sangat dihargai kerana memotivasi pelbagai pihak untuk membantu kami baik dengan tenaga, masa, atau sumbangan kewangan," katanya.

Namun, kejayaan sebenar menurut Mohd Suhaimi terletak kepada semangat gotong-royong dan azam penduduk tempatan mahupun pengunjung yang turut sama menjaga alam sekitar di situ.

Justeru, beliau berharap pihak kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada usaha komuniti setempat dalam menjaga hutan bakau bukan sahaja di Sijangkang tetapi juga di kawasan lain misalnya, peruntukan kewangan.

"Apabila kami memberi ceramah kepada orang luar yang kawasan ini sebelumnya merupakan tapak pelupusan sampah haram, ramai tidak percaya. Tetapi, kisah kejayaan ini adalah bukti apabila komuniti bersatu, masalah setempat dapat diselesaikan dengan lebih cepat," katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan dan Felo Penyelidik, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM Dr A. Aldrie Amir berkata, hutan bakau sememangnya penting bagi membolehkan ekosistem habitat semula jadi sumber makanan seperti ikan, udang dan ketam terus membiak.

Untuk itu, beliau melihat usaha Komuniti Kg Sijangkang sebagai langkah wajar yang boleh diteladani dan kerajaan boleh mengalakkannya dengan melibatkan usaha pemeliharan dan perlindungan yang dilakukan Jabatan Perhutanan bersama penduduk kampung.

"Biasanya, hutan bakau diwartakan sebagai hutan simpan atau hutan yang dilindungi dan Jabatan Perhutanan yang mengawasinya. Namun, komuniti tempatan tidak dilibatkan secara langsung dalam pelaksanaannya sedangkan mereka boleh membantu menjadi 'mata dan telinga' bagi pihak kerajaan.

"Dalam kes di Kg Sijangkang, yang sebelum ini menjadi tempat pembuangan sampah haram kerana pengurusan sampah tidak dijalankan dengan baik sehingga dianggap sebagai tanah wasteland dan bukannya wetland tetapi usaha penduduk kampung berjaya mengubahnya," katanya.

-- BERNAMA