KUALA LUMPUR: Subsidiari Toyota Motor Corporation, Daihatsu Motor Co Ltd telah menangguh sementara penghantaran semua model yang sedang dalam pengeluaran, di Jepun dan di luar negara berikutan penemuan isu keselamatan.

Kumpulan itu berkata Daihatsu telah mentauliahkan siasatan kepada jawatankuasa pihak ketiga bebas berhubung isu prosedur dan mendapati masalah pada 174 item dalam 25 kategori ujian, di samping ketidakteraturan lapisan pintu pada April termasuk semasa ujian perlanggaran sisi pada Mei lepas.

Pengeluar kereta itu melalui satu kenyataan pada Rabu berkata ini merangkumi sejumlah 64 model serta tiga enjin kenderaan daripada keseluruhan model yang sedang dihasilkan, dibangunkan atau dihentikan pengeluaran termasuk 22 model dan satu enjin yang dijual oleh Toyota.

"Kami memohon maaf atas kesulitan dan kebimbangan yang tercetus ke atas semua pihak berkepentingan, termasuk pelanggan.

"Sebagai tindak balas kepada penemuan ini, Daihatsu Toyota juga telah memutuskan untuk menangguhkan sementara penghantaran model yang terjejas," katanya.

Daihatsu telah menjalankan ujian kenderaan termasuk pengesahan teknikal yang dibuat secara dalaman untuk kenderaan yang terkait bagi memastikan keselamatan dan prestasi persekitaran mereka memenuhi piawaian undang-undang.

Kumpulan itu juga menjelaskan pada peringkat akhir penyiasatan, didapati unit kawalan beg udaranya (ECU) adalah berbeza daripada model pengeluaran besar-besaran yang dipakai bagi ujian beg udara untuk Daihatsu Move/Subaru Stella, Daihatsu Cast/Toyota Pixis Joy, Daihatsu Gran Max/Toyota Town Ace/Mazda Bongo.

"Walaupun pengesahan teknikal mendapati bahawa beg udara itu memenuhi piawaian prestasi perlindungan penumpang, semasa diuji, 'standard prestasi keselamatan untuk penumpang keluar (membuka kunci)' dalam ujian perlanggaran sisi Daihatsu Cast/Toyota Pixis Joy mungkin tidak mematuhi keperluan perundangan.

"Pada masa ini, kami tidak mengetahui sebarang maklumat kemalangan berkaitan perkara tersebut tetapi kami sedang menjalankan pengesahan teknikal yang menyeluruh dan menyiasat punca untuk mengambil langkah yang perlu secepat mungkin," kata kumpulan itu.

Dalam perkembangan lain, kumpulan itu telah mengesahkan bahawa piawaian prestasi yang ditetapkan oleh peraturan itu telah dipenuhi serta kesahihan keputusan dan proses pengesahan juga telah disahkan oleh TUV Rheinland Japan (TRJ), sebuah organisasi pensijilan pihak ketiga.

Toyota juga mengumumkan bahawa pensijilan nereka merangkumi keperluan bagi pihak berkuasa kebangsaan untuk memeriksa dan mengesahkan bahawa kenderaannya memenuhi pelbagai piawaian supaya pelanggan boleh memandu kenderaan mereka dengan tenang.

"Kami menganggap pensijilan ini sebagai prasyarat utama untuk menjalankan perniagaan sebagai pengeluar kereta . Kami menyedari betapa beratnya kesan apabila pengabaian Daihatsu terhadap proses ensijilan telah menggoyahkan asas syarikat sebagai pengeluar kereta," katanya.

Toyota berkata sejak 2013, ia telah meningkatkan bilangan model pengeluar peralatan asal (OEM) yang diterima daripada syarikat lain, terutamanya kenderaan kompak dan amat kesal kerana pembangunan kenderaan ini mungkin membebankan Daihatsu dan kumpulan itu tidak menyedari situasi yang membabitkan operasi pensijilan syarikat.

"Daihatsu telah memaklumkan kepada kami bahawa, pada masa hadapan, ia akan menjelaskan keadaan itu dengan pihak berkuasa dan mengambil tindakan sewajarnya di bawah bimbingan mereka. Ia juga akan menyiasat dengan teliti sama ada terdapat sebarang kes serupa yang lain untuk memastikan keselamatan pelanggan menjadi keutamaan. Kami di Toyota juga akan bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan ini," kata kumpulan itu lagi.

Toyota berkata untuk mengelakkan isu yang sama berulang, sebagai tambahan kepada kajian semula operasi pensijilan, pembaharuan asas diperlukan bagi memperbaharui Daihatsu sebagai sebuah syarikat.

"Ini akan menjadi tanggungjawab yang sangat penting yang tidak mungkin dicapai dalam sekelip mata. Ia memerlukan bukan sahaja semakan pengurusan dan operasi perniagaan tetapi juga semakan organisasi termasuk struktur, serta perubahan dalam pembangunan sumber manusia dan kesedaran setiap pekerja.

"Toyota akan memberikan sokongan penuh kepada pemulihan Daihatsu supaya ia boleh kembali ke akar umbinya sebagai 'syarikat mobiliti kompak' yang sentiasa menjadi asas Toyota dan Daihatsu, serta mendapatkan semula kepercayaan semua pihak berkepentingan," tambahnya.

-- BERNAMA