KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor Sdn Bhd bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kawal selia untuk menangani dengan segera dan telus berhubung ketidakaturan prosedur baru-baru ini dalam ujian model oleh Daihatsu Motor Co Ltd (DMC).

Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran K. berkata syarikat menekankan dedikasinya untuk mengekalkan standard dan kualiti tertinggi bagi kenderaannya.

"Jangan bimbang, kami sedang berusaha untuk memastikan kesemua kenderaan kami di Malaysia mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkaitan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata syarikat memahami kepentingan kepercayaan dan mahu mengukuhkan keyakinan pelanggan terhadap syarikat.

"Komitmen kami terhadap kepuasan pelanggan sentiasa menjadi fokus utama kami," katanya.

Pada 28 April lepas, DMC telah mengumumkan berlakunya "ketidakaturan prosedur" semasa menjalankan ujian keselamatan ke atas kenderaan di Jepun dan telah menubuhkan jawatankuasa audit bebas yang terdiri daripada peguam dan tenaga kerja teknikal.

Laporan jawatankuasa audit bebas mendedahkan bahawa pemeriksaan dan ujian mengesahkan kesemua 174 ketidakaturan yang dikenal pasti oleh jawatankuasa audit bebas memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan.

Menurut laporan berita, ketidakaturan itu melibatkan 64 model dan tiga enjin kenderaan, termasuk 22 model dan satu enjin yang dijual oleh Toyota.

Sebagai respons kepada penemuan itu, Daihatsu telah memutuskan untuk menggantung sementara penghantaran modelnya.

-- BERNAMA