Dipercayai berang dengan tindakan penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang didakwa hendak merampas peralatan di kedainya tanpa sebarang notis, seorang peniaga bertindak nekad melarikan kenderaan penguatkuasa itu sebelum membawanya ke sebuah balai polis, dalam kejadian pada Khamis malam.

Difahamkan, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.50 malam tadi itu, sepasukan penguatkuasa MBPP sedang menjalankan operasi penguatkuasaan ke atas beberapa buah kedai makan yang beroperasi di Jalan Bagan Jermal, di sini.

Kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan pasukan penguatkuasa yang dikatakan gagal memberi sebarang notis amaran sebelum melakukan rampasan, peniaga berusia 27 tahun itu bertindak melarikan lori milik MBPP itu, dipercayai bagi mengelak pasukan penguatkuasa merampas meja dan kerusi di kedainya.

Peniaga terbabit, Mohammad Haziq Ammar Mohd Hussain kemudiannya memandu kenderaan itu terus ke Balai Polis Pulau Tikus sebelum membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu.

Beliau mendakwa bertindak demikian akibat tidak puas hati dengan tindakan yang dilakukan penguatkuasa MBPP yang cuba untuk merampas peralatan di kedainya buat kali ketiga.

Katanya, tindakan dilakukannya itu juga bertujuan mengelak berlakunya pergaduhan sebaliknya ingin menyelesaikan perkara itu secara baik dengan membuat laporan polis.

Menurut Mohammad Haziq, dia pernah membuat permohonan untuk mendapatkan lesen daripada MBPP sebelum ini tetapi ditolak dengan pelbagai alasan.

Selain Mohammad Haziq, beberapa peniaga yang ditemui turut melahirkan kekesalan dengan tindakan pihak penguatkuasa yang didakwa mengambil tindakan keatas mereka tanpa sebarang notis amaran.

Dakwa mereka, selain tidak mengganggu lalu lintas, mereka turut mengambil berat aspek kebersihan di kawasan itu.

“Pukul 9 lebih, MBPP datang kedai dan merampas semua barang. Notis pun mereka tidak bagi. Kalau ada notis awal, kami boleh terima lagi benda ini.

“Ini notis tidak kasi dan mereka terus rampas,” kata seorang peniaga Mohd Zambri Mohd Said.

Kata seorang lagi peniaga Abdul Muhaimin Mohd Hassan, “Selepas berniaga kami akan sapu bersih dan buang kotoran. MBPP pun tidak perlu sapu. Satu sampah pun kami tidak tinggal.”

Astro AWANI sedang cuba mendapatkan reaksi dari MBPP dan pihak berkuasa berhubung insiden terbabit.