KUALA LUMPUR: Dakwaan Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud bahawa bekalan vaksin di negeri itu akan kehabisan beberapa hari lagi, disifatkan tidak tepat. 

Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam, memaklumkan negeri itu kini mempunyai kira-kira 339,000 dos vaksin yang mampu bertahan untuk seminggu lagi.

Katanya, bekalan itu juga akan ditambah dari semasa ke semasa melalui penghantaran yang sudah dijadualkan dalam masa terdekat.

“Dalam Sistem Pengurusan Pelawat (VMS), Selangor kini mempunyai kira-kira 339,000 dos. Dengan penggunaan Selangor pada kadar 40,000 sehari, ia cukup untuk sekurang-kurangnya seminggu.

“Selain itu, terdapat penghantaran berjadual pada 28 Jun, 29 Jun, 30 Jun, 1 Julai, 2 Julai ,3 Julai, dan 4 Julai ke Selangor,” katanya dalam laman Twitternya, hari ini.

Terdahulu, Dr Siti Mariah dalam Twitternya mendakwa, dalam masa beberapa hari lagi, sebilangan PPV di Selangor akan kehabisan vaksin dan terpaksa dihentikan operasi jika tidak menerima bekalan vaksin baharu.

Beliau menujukan dakwaan itu kepada beberapa individu termasuk Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Penasihat Khas Kesihatan Awam Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dr Ghows Azzam turut menegaskan, Dr Siti Mariah sepatutnya menghubungi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk mendapatkan penjelasan, bukan memuat naik isu itu di laman sosial.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh bantu jika anda bercakap mengenai vaksin di luar PICK," ujarnya.