PUTRAJAYA: Pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sebelum ini dikaitkan dengan kes gangguan seksual telah dirakam keterangan pada Khamis.

Menurut sumber, individu berumur lingkungan 50-an itu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kira-kira jam 2 petang.

Difahamkan individu terbabit hadir bersama individu lain dipercayai peguamnya sebelum keluar kira-kira jam 4.30 petang.

Petugas media yang menunggu sejak jam 1 tengah hari bagaimanapun tidak sempat merakam visual kehadiran individu berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan keterangan pegawai itu akan diambil oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Pada Rabu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan babit dakwaan kes gangguan seksual membabitkan seorang pegawai terbabit terhadap seorang wanita.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Tular paparan laporan polis oleh seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang juga perunding kewangan membuat mendakwa pegawai terbabit mengganggunya di WhatsApp sejak tahun lalu. - Sinar Harian