BUKIT MERTAJAM: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengesa pihak yang melemparkan fitnah kononnya satu program melibatkan sekolah diadakan di gereja diminta tampil memohon maaf kerana kenyataan itu tidak benar dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Fadhlina berkata dakwaan yang tular itu juga boleh menjejaskan keharmonian lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.
Advertisement
“Kita ada terima aduan berkaitan satu kenyataan fitnah yang mendakwa kita (Kementerian Pendidikan -KPM) mengadakan program di gereja dan ia telah menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat. Sebenarnya, program itu diadakan di sebuah sekolah antarabangsa iaitu satu sesi libat urus berkaitan dengan apa yang kita panggil sebagai pemegang taruh sekolah ataupun prasekolah swasta.
“Dan sesi itu berlaku dalam dewan dan bukannya sesuatu yang didakwa dalam gereja, sebab itu saya tegaskan tadi ini bulan Ramadan dan apa sahaja fitnah dan berita yang cuba mengganggu-gugat keharmonian serta membangkitkan rasa marah dan salah faham dalam masyarakat tidak boleh dibiarkan," katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa MADANI dan Ihya Ramadan KPM Tahun 2026 dan turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan tular di media sosial program melibatkan tadika swasta bersama KPM yang diadakan di sebuah gereja di Bukit Mertajam di sini.
Beliau berkata setakat ini pihaknya mengambil pendekatan menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat dan menafikan dakwaan pihak yang melemparkan fitnah tersebut.
“Majlis itu dihadiri ramai pemegang taruh yang terlibat dalam sesi libat urus tersebut dan ia berlaku dalam dewan, fasiliti yang baik dan perbincangan pun baik, jadi dakwaan itu sama sekali tidak benar,” katanya.
Terdahulu Bernama melaporkan KPM menafikan dakwaan bahawa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan tadika swasta zon utara yang berlangsung semalam diadakan di sebuah gereja seperti yang tular di media sosial.
Kesal dengan dakwaan tidak berasas itu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad dilaporkan berkata sesi itu telah dilaksanakan di dewan Sekolah Menengah Antarabangsa Assumption di Bukit Mertajam, di sini yang berdaftar dengan kementerian.
Beliau dilaporkan berkata pemilihan lokasi itu dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk kemudahan dan fasiliti yang tersedia selain bertujuan mengetengahkan peranan sekolah antarabangsa sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan swasta negara.
-- BERNAMA