PUTRAJAYA: Dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim bahawa beliau dipaksa menandatangani dokumen proklamasi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan perlu diserahkan kepada polis untuk siasatan, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata sebarang ulasan berhubung dakwaan terbabit tidak wajar dibuat ketika pihak polis mungkin telah membuka kertas siasatan bagi meneliti maksud paksaan (duress) dan pengaruh tidak wajar (undue influence) dalam dakwaan itu.
"Bagi saya yang pertama, apabila dakwaan melibatkan unsur paksaan atau pengaruh tidak wajar, kita serahkan kepada pihak polis untuk siasat.
"Kita tidak seharusnya memberikan komen kerana mungkin polis sudah buka fail, jadi biar polis yang menyiasat maksud paksaan dan pengaruh tidak wajar itu," katanya kepada media selepas menghadiri Program Kayuhan Fashionista: Bulan Kebangsaan "Dua Sambutan Satu Jiwa" di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina berkata beliau yakin Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mampu mencari jalan penyelesaian kerana parti itu memahami peranan serta hubungan antara Menteri Besar dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
"Saya percaya Kerajaan Persekutuan mahupun UMNO Pusat juga tidak boleh campur tangan dalam isu ini kerana melibatkan hal negeri," katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim yang mendakwa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi tanpa rela hati dan secara paksaan.
Pada 9 Sept lepas, Ismail menegaskan bahawa dokumen Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang beliau tandatangani dan tular, dibuat tanpa kerelaan hatinya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azalina berkata beliau menyerahkan kepada UMNO Selangor untuk mengambil tindakan terhadap perwakilan dari negeri berkenaan yang didakwa membuat jenaka tentang paderi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, baru-baru ini.
Beliau berkata isu agama ialah perkara sensitif dan penggunaan analogi yang tidak tepat boleh menyebabkan kenyataan terbabit disalah tafsir.
-- BERNAMA