Skip to main content

Malaysia

Dakwaan menghina: PDRM siasat anggota dikaitkan video tular di China - KPN

KUALA LUMPUR, 23 Jun -- Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail (tengah) ketika ditemui media selepas Majlis Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) Ke-42 di Maktab PDRM Cheras hari ini.  Turut sama Presiden RESPA Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin (kiri).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Khalid (tengah) ketika ditemui media selepas Majlis Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) Ke-42 di Maktab PDRM Cheras hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan tatatertib terhadap seorang anggotanya yang tular berikutan dakwaan menghina penduduk tempatan ketika melancong di China, baru-baru ini.

​Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata anggota berkenaan bagaimanapun masih bertugas seperti biasa pada masa ini.

"Saya meminta kepada semua pihak supaya bertenang dan PDRM akan menjalankan siasatan sebaik mungkin... bukan sahaja daripada sudut tatatertib, malah jika ada pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau mengingatkan semua pegawai dan anggota polis supaya sentiasa menjaga tatakelakuan ketika berada di dalam mahupun di luar negara memandangkan mereka tertakluk kepada peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) pasukan, walaupun tidak memakai uniform.

Kontroversi membabitkan seorang pempengaruh yang juga anggota polis itu turut mendapat liputan meluas media luar negara selepas dia didakwa menjerit perkataan tidak sepatutnya sambil menutup hidung di tempat awam di negara berkenaan.

Terdahulu, ​Mohd Khalid menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) Ke-42 di Maktab PDRM Kuala Lumpur di sini.

Berhubung kebajikan pesara, beliau berharap agar kerajaan dapat menimbang semula untuk mengkaji kadar elaun perwira negara bagi membantu golongan itu mendepani cabaran kos sara hidup semasa.

Beliau berkata isu membabitkan elaun penerima darjah kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB) itu turut dibangkitkan oleh Presiden RESPA Datuk Meor Chek Hussein Mahayuddin memandangkan kadar berkenaan tidak pernah disemak semula sejak 17 tahun lalu iaitu pada 2009.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement