Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuat laporan kepada pihak berwajib berhubung artikel bertajuk 'Rasuah dalam JPJ jahanamkan industri logistik' disiarkan oleh sebuah portal berita hari ini.

Menerusi satu kenyataan, JPJ memaklumkan pihaknya memandang serius kenyataan yang dibuat menerusi artikel itu.

"JPJ tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan rasuah mahupun penyalahgunaan kuasa di jabatan ini dan tindakan tatatertib sehingga buang kerja akan dikenakan jika disabitkan kesalahan," tegas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, JPJ mengharapkan kerjasama semua pihak dalam membanteras jenayah rasuah di jabatan ini selaras dengan aspirasi Malaysia Bersih.

Portal berita itu hari ini menyiarkan artikel mendakwa berlaku kegiatan rasuah serta salah guna kuasa dalam kalangan anggota JPJ di beberapa negeri. - BERNAMA