MALAYSIA
Dakwaan songsang: 'Kami bantu wanita hadapi cabaran hubungan suami isteri' - Pengasas eHati

Menerusi kenyataan, pasangan itu mendakwa bahawa program yang ditawarkan bertujuan membantu wanita mendapatkan kebahagiaan, mencari ketenangan dan memulihkan trauma. - Gambar/ Sinar Harian
PUTRAJAYA: Pengasas bersama motivasi rumah tangga, Ehati International Sdn Bhd (eHati), Diana Tahir dan Rahim Shukor tampil menepis dakwaan berhubung program yang dijalankan oleh syarikat mereka.
Ringkasan AI
- Pengasas bersama eHati International menafikan dakwaan negatif terhadap program mereka, menjelaskan bahawa pendekatan digunakan adalah berasaskan Neuro-Linguistic Programming (NLP) untuk membantu wanita mengurus emosi dan trauma.
- Mereka menegaskan bahawa kaedah urutan yang digunakan telah diadaptasi daripada teknik urutan pelvic floor dan Thai, tanpa melibatkan ritual agama, serta merupakan modul pilihan yang tidak diwajibkan kepada peserta.
- Susulan dakwaan termasuk tarian bogel, minuman misteri dan upacara menyerupai ritual, pasangan tersebut telah membuat laporan polis dan kepada SKMM, serta menyatakan kesediaan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah.
“Ada juga program yang membantu wanita yang sudah berkahwin dan mungkin menghadapi cabaran dalam hubungan suami isteri, termasuk kekeliruan terhadap tubuh sendiri dan emosi,” kata mereka.
Berhubung dakwaan melibatkan unsur urutan berasaskan tantra, mereka menjelaskan bahawa kaedah sebenar telah diadaptasi daripada gabungan urutan pelvic floor dan urutan Thai.
“Kaedah ini diolah agar bersesuaian dengan nilai tempatan dan tidak melibatkan sebarang ritual agama lain.
“Ia juga merupakan modul pilihan, dan peserta tidak diwajibkan untuk mengikutinya,” ujar mereka.
Sebelum ini, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program yang dikendalikan pasangan berkenaan.
Dalam hantaran terbaharu di laman Facebook milik individu tersebut, turut didakwa bahawa dua wanita telah melakukan tarian bogel dalam satu program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor.
Peserta program juga didakwa diberi sejenis minuman yang tidak diketahui kandungannya sehingga mampu mengubah mood dalam tempoh singkat.
Selain itu, pengguna terbabit turut mendakwa peserta diarahkan menjalani upacara mandi suci dan lahir semula yang dikatakan menyerupai ritual keagamaan lain.
Terdahulu, individu sama turut mendakwa wujud penganjuran program eHati di Bali, Indonesia yang didakwa mempunyai unsur penyelewengan.
Dalam kenyataan sama, Diana dan Rahim menegaskan bahawa aktiviti yang didakwa sebagai ritual itu sebenarnya merupakan sesi breathwork, manakala dekorasi bunga adalah disediakan oleh pihak hotel dan bukan sebahagian daripada program atau ritual tertentu.
Sehubungan itu, mereka menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap syarikat berkenaan.
Satu laporan polis juga telah dibuat pada Sabtu lalu bagi menuntut siasatan menyeluruh dijalankan.
“Kami juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan perkara ini dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami