KUALA LUMPUR: Tiada laporan polis diterima daripada Mogok Doktor Malaysia berhubung dakwaan ugutan terhadap kumpulan itu.

Perkara itu disahkan Unit Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam kenyataan pada Rabu.

"Untuk makluman, setakat ini tiada laporan polis diterima daripada kumpulan Mogok Doktor Malaysia terhadap pihak yang didakwa membuat ugutan terhadap mereka," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Mogok Doktor Malaysia mendakwa terdapat doktor kanan cuba menekan doktor kontrak untuk tidak terbabit mogok bagi menuntut hak lantikan tetap.

"Pihak kami akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap mana-mana doktor pakar yang terbabit kes ugutan seperti ini.

"Tolong hantarkan nama kepada 'admin' (pentadbir Mogok Doktor Malaysia) dengan bukti 'screenshot' (tangkap layar). Kami akan memastikan pakar perubatan yang terlibat dalam ugutan dikenakan hukuman setimpal," katanya.

Turut dimuat naik gambar tangkap layar kiriman mesej didakwa daripada seorang pakar perubatan yang melarang mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan dan tindakan akan diambil oleh ketua bahagian.

Media sebelum ini melaporkan, kumpulan doktor kontrak yang merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari bermula Isnin lepas.

Mogok Doktor Malaysia mendakwa 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok berkenaan.