PAS menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya PAS menyokong Datuk Seri Najib Razak hanya kerana keengganan parti itu bersama Pakatan Harapan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dakwaan itu tidak benar kerana pada ketika ini terdapat juga ahli UMNO yang menentang dan menolak kepimpinan Najib sebagai perdana menteri.

“Tak betul (tidak sokong PH bererti sokong Najib). Dalam UMNO pun ada yang tolak Najib,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM di Konvensyen Pakatan Harapan pada Sabtu membuat dakwaan sedemikan malah turut berkata sebarang kemungkinan PAS bergabung menentang Barisan Nasional (BN) dilihat musnah apabila menuduh PAS memakan “dedak”.

Walaupun tidak menamakan mana-mana parti, namun PAS merupakan parti yang masih belum bersetuju menjadi sekutu pilihan raya dengan DAP, PKR dan Amanah bagi menentang BN.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, PAS tetap dengan pendirian mengambil jalan tengah iaitu tidak menentang atau menyokong mana-mana pihak secara semberono.

“Ada tempat kita sokong, ada tempat tidak sokong, bukannya bulat. Terpulang pada beliau untuk buat kenyataan (untuk Dr Mahathir membuat tuduhan),” katanya.

Pakatan Rakyat yang menggabungkan PAS, DAP dan PKR terkubur tahun lalu selepas pertelingkahan secara terbuka antara PAS dan DAP dengan pemimpin parti Islam itu berkata parti itu tidak akan lagi bekerjasama dengan DAP.

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, parti yang ditubuhkan pada September, pernah cuba bergabung dengan PAS, dan berharap parti Islam itu akan menyertai pakatan mereka menentang PM dan kerajaan BN.

Namun, Hadi berkali-kali menyatakan parti itu tidak akan mengulangi kesilapan bekerjasama dengan DAP.