KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Muhammad Syarifuddin Azman terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi pada pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix Valencia selepas mengalami keretakan pada pergelangan tangan kanannya.

Pelumba berusia 22 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Damok, berkata penilaian perubatan pada pagi tadi mendapati beliau mengalami kecederaan tersebut selepas terbabas pada sesi latihan bebas kedua di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol pada Jumaat lepas.

"Tentunya saya kecewa kerana saya mahu berlumba dan lakukan yang terbaik di perlumbaan akhir ini. Saya berterima kasih atas peluang dan pengalaman ini. Saya akan teruskan proses pemulihan saya sewaktu di Malaysia nanti," katanya menerusi kenyataan.

Keputusan itu bermakna Damok bakal menamatkan musim ini dengan lima mata selepas 20 perlumbaan (termasuk GP Valencia) di Kejuaraan Dunia musim ini.

Damok yang beraksi bersama pasukan MT Helmets-MSI, menamatkan latihan bebas pertama dan kedua pada Jumaat masing-masing di kedudukan ke-15 dan 23 dengan catatan masa 1 minit dan 40.722 saat (s), dan 1 minit 40.183s.

-- BERNAMA