Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Dana Kerjaya 2.0: KESUMA sokong penuh siasatan SPRM

TB_RAMANAN_FIRDAUS MOHARI
Ramanan berkata kementeriannya kekal komited untuk memastikan semua program bantuan kerajaan ditadbir dengan standard integriti, akauntabiliti dan tadbir urus tertinggi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyatakan sokongan penuh terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan tuntutan di bawah Program Daya Kerjaya 2.0.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata kementerian itu kekal komited untuk memastikan semua program bantuan kerajaan ditadbir dengan standard integriti, akauntabiliti dan tadbir urus tertinggi.

Beliau berkata dakwaan penyelewengan itu pertama kali dikesan melalui mekanisme pemantauan dalaman dan anti-fraud Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Melalui Bahagian Anti-Fraud, Etika dan Integriti (AFEI), Perkeso mengenal pasti corak mencurigakan dan potensi penyelewengan semasa analisis data dalaman yang dijalankan pada akhir 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramanan berkata AFEI seterusnya menjalankan risikan, pengawasan dan siasatan sepanjang 2025 untuk mengesahkan penemuan itu serta mengumpul bukti dan menetapkan modus operandi di sebalik dakwaan penyalahgunaan itu.

Beliau berkata penemuan itu dibentangkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso yang kemudiannya mengarahkan supaya perkara itu dirujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut. 

Susulan arahan itu, Perkeso menyerahkan kes tersebut kepada SPRM Perak pada Ogos 2025 dan bekerjasama rapat dengan SPRM menerusi proses siasatan bersama-sama serta menyediakan semua dokumen dan bukti yang berkaitan.

“Apabila kes itu berkembang, ia dipindahkan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya,” katanya.

Ramanan berkata kes itu menunjukkan mekanisme tadbir urus, pematuhan dan antipenipuan Perkeso berkesan memandangkan dakwaan penyelewengan itu dikesan melalui kawalan dalaman sebelum dirujuk kepada pihak berkuasa.

Beliau juga memuji pegawai AFEI atas profesionalisme, ketekunan dan dedikasi mereka dalam mengesan, menyiasat serta melaporkan dakwaan salah laku itu.

Ramanan berkata Program Daya Kerjaya 2.0 diperkenalkan untuk mewujudkan peluang pekerjaan serta menyokong kumpulan rentan termasuk orang kurang upaya (OKU), bekas banduan, warga emas dan pencari kerja yang ingin kembali ke dalam pasaran kerja.

Beliau menegaskan sebarang penyalahgunaan dana awam atau tuntutan palsu tidak akan dikompromi dan KESUMA serta Perkeso akan terus memperkukuh mekanisme tadbir urus, pengesahan dan pemantauan selain bekerjasama rapat dengan SPRM dan agensi penguatkuasaan lain untuk melindungi dana awam serta memastikan bantuan kerajaan sampai kepada golongan sasar yang sepatutnya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement