Skip to main content

Malaysia

Dana pelaburan Fashion Valet tidak boleh diguna bayar dividen pemegang saham - Saksi

Vivy dan Fadzarudin didakwa melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet kepada syarikat 30 Maple tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat. - Gambar fail
Vivy dan Fadzarudin didakwa melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet kepada syarikat 30 Maple tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini yang mendengar kes pengasas Fashion Valet Sdn Bhd (Fashion Valet) Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar diberitahu bahawa dana pelaburan tidak boleh digunakan untuk pembayaran dividen kepada mana-mana pihak termasuk pemegang saham syarikat itu.

Peguam Korporat Anne Wong Wai Yee, 49, yang terlibat dalam penyediaan draf dokumen perjanjian pemegang saham antara pasangan itu dengan tujuh syarikat lain termasuk Fashion Valet pada 5 Mac 2018 berkata perkara itu tidak diperuntukkan dalam terma perjanjian berkenaan.

Enam syarikat lain ialah Proven Holding Sdn Bhd, MY E.G. Capital Sdn Bhd, Transasia E-Commerce Inc, Start Today Co Ltd dan Reussi Sdn Bhd dan Pulau Tiga Ventures Sdn Bhd.

Advertisement

"Pengisytiharan dividen perlu mendapat kelulusan majoriti pengarah termasuk pengarah yang dilantik oleh Start Today Co Ltd dan Pulau Tiga Ventures Sdn Bhd," katanya pada perbicaraan kes pasangan itu yang berdepan pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata perjanjian berkenaan juga menetapkan bahawa jenis penggunaan pelaburan yang dibenarkan iaitu perbelanjaan bagi kegunaan pembangunan teknologi, stor dan gudang, produk dan jenama. 

Advertisement

"Peratusan penggunaan pelaburan yang dibenarkan adalah untuk pemerolehan pelanggan sebanyak 30 peratus, pembangunan teknologi sebanyak 30 peratus, peluasan rangkaian kedai dan gudang sebanyak 20 peratus serta pemerolehan produk dan jenama sebanyak 20 peratus sahaja daripada nilai keseluruhan pelaburan. Kebiasaannya, perbelanjaan itu perlu mendapatkan kelulusan daripada majoriti ahli lembaga pengarah," kata Wong.

Beliau berkata Fashion Valet perlu mengemukakan ringkasan penggunaan dana pelaburan kepada ahli lembaga pengarah setiap tiga bulan dan setiap tahun sehingga keseluruhan dana digunakan.

"Bagaimanapun, saya tidak mempunyai pengetahuan berkenaan pengagihan dividen atau pemindahan wang pelaburan yang diterima oleh Fashion Valet kerana tugas saya hanya setakat membuat dan menyelaraskan dokumen perjanjian sahaja. Pelaksanaan lanjutan perjanjian oleh pihak-pihak di dalam perjanjian adalah di luar tugas kerja saya," katanya yang merupakan rakan kongsi di Tetuan Karen Kaur & Anne Wong Partnership.

Saksi itu turut berkata Fashion Valet tidak boleh memberikan pinjaman atau kredit kepada pengarah, pemegang saham, syarikat berkaitan atau mana-mana pihak lain tanpa kelulusan majoriti lembaga pengarah.

"Fashion Valet antara lain tidak boleh memasuki sebarang perjanjian atau persefahaman dengan pihak-pihak yang berkaitan dengan syarikat, pengarah serta pemegang saham melibatkan RM50,000 atau lebih dalam setahun kecuali mendapat kelulusan majoriti pengarah termasuk pengarah yang dilantik oleh Syarikat Start Today Co Ltd dan Pulau Tiga Ventures Sdn Bhd," katanya.

Wong berkata merujuk kepada dokumen Subscription Agreement (Perjanjian Langganan Saham) bertarikh 4 Jun 2018, perkara itu merupakan perjanjian yang mengikat pihak-pihak berkaitan iaitu Fashion Valet, Proven Holdings dan PNB berhubung pelaburan oleh PNB ke dalam Fashion Valet. 

"Secara asasnya, perjanjian ini menetapkan terma dan syarat pelaburan yang dibuat oleh PNB ke dalam Fashion Valet, iaitu sebagai balasan kepada pelaburan tersebut, Fashion Valet akan menerbitkan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS) kepada PNB," kata saksi itu.

Vivy, 38, dan Fadzarudin, 37, didakwa dengan niat bersama-sama sebagai Pengarah Fashion Valet, melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet kepada syarikat 30 Maple tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan dengan niat bersama-sama secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik Fashion Valet iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta, di lokasi dan tarikh sama.

Pasangan suami isteri itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 20 Nov ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement