KOTA KINABALU: Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (Syabas) yang memperuntukkan dana sebanyak RM2,000 dan RM5,000 kepada belia untuk memulakan perniagaan akan diteruskan pada tahun ini.

Perkara tersebut disuarakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor sewaktu ditemui media selepas merasmikan Program Bicara Pemimpin Muda Bersama Ketua Menteri.

"Insya-Allah (Program Syabas) kita akan teruskan. Memang kita akan teruskan bantuan ini," ujar Hajiji secara ringkas ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai perkara tersebut, Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, respons Hajiji itu sedikit sebanyak memberi sinar baharu kepada golongan belia yang menganggur di negeri tersebut selain memberi kelegaan kepada golongan usahawan muda yang terbeban dengan situasi ekonomi pada ketika ini.

"Respons yang diberikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ibarat sinar baharu buat golongan belia yang masih menganggur di negeri ini. Ini peluang untuk mereka meneroka potensi karier yang baharu dalam bidang keusahawanan.

"Sedikit kelegaan juga buat usahawan muda kita yang baru bertatih dalam dunia perniagaan. Mereka ini seperti yang kita tahu sedang menyerap impak, kesan daripada kitaran ganas ekonomi yang sedang melanda negara," kata Abqaree.

Untuk rekod, Program Skim Jaya Usahawan Belia (Syabas) merupakan inisiatif kerajaan negeri di bawah Kementerian Belia Dan Sukan kepada usahawan belia serta golongan muda yang ingin memulakan perniagaan.

Sebanyak RM10 juta telah diumumkan kerajaan negeri pada tahun lalu turut memberi manfaat kepada lebih 2,000 perniagaan.