PUTRAJAYA: DAP akan sentiasa berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan dalam melaksanakan sebarang dasar dan berkaitan dengan perihal politik di negara ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam masa sama menegaskan, DAP sememangnya bukan parti komunis seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau yang berucap ketika Persidangan DAP 2023 turut menegaskan bahawa parti itu mengamalkan pendekatan dan ideologi sosial demokrasi.

"Saya nak beritahu kepada rakan baharu daripada Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO bahawa DAP akan sentiasa mengambil pendekatan sederhana dalam dasar kita, keputusan kita dan dalam politik kita.

"Kami bukan parti komunis, kami adalah 'center left', DAP berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan, termasuk perjuangannya dan objektifnya.

"Jadi tak perlu ada kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu terhadap DAP kerana perjuangan parti ini pertamanya mengikut lunas undang-undang, kita pertahankan Perlembagaan Persekutuan dan berlandaskan prinsip Rukun Negara," katanya.

Persidangan DAP kali ini juga menyaksikan ‘keajaiban’ besar apabila sosok tubuh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut kelihatan pada persidangan berkenaan.

Dalam pada itu, Loke menyatakan, sudah tiba masanya kesemua parti mendukung penuh aspirasi Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kedudukan pendtadbiran negara yang stabil selain meraih kepercayaan rakyat.

Tambahnya lagi, negara tidak boleh didukungi oleh pemimpin yang mempunyai pemikiran ekstrem.

Menurutnya, kerajaan ketika ini yang merupakan hasil gabungan 19 parti politik merupakan usaha bagi mengembalikan semula kebangkitan negara khususnya dalam soal ekonomi dan sosial.