ALOR SETAR: DAP sedang mengintai peluang untuk bertanding kerusi Parlimen di Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, bilangan kerusi yang ingin ditandingi belum dapat didedahkan memandangkan ia masih dalam proses perundingan pada peringkat Jawatankuasa Rundingan Kerusi Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, rundingan berkenaan melibatkan kerusi-kerusi Parlimen yang ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan PRU14.

"Jadi kita sudah tentu (mahu tambah kerusi terutama di Parlimen), kita hanya menuntut kerusi yang mana kita ada sokongan, bukan kita minta suka-suka, kita akan runding untuk kita minta kerusi yang akan ditandingi.

"Kerusi itu di mana kita (sudah) ada cawangan, (sudah) ada keahlian, yang paling penting kita ada gerak kerja di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Kedah di Pusat Pameran dan Konvensyen Dewan Perhimpunan Cina, Alor Setar pada Sabtu.

Dalam pada itu, Anthony memberi bayangan bahawa kerusi Parlimen yang akan ditandingi adalah kerusi majoriti Melayu bagi membuktikan bahawa parti itu bukan sebuah parti anti-Melayu.

"(Kita) harap (tindakan itu mampu) untuk membuang persepsi dan fitnah bahawa DAP anti-Melayu, yang paling baik adalah kita kena berkhidmat di kawasan Melayu, itu sebabnya kita tawarkan diri untuk bertanding di kerusi Melayu," katanya.

Pada PRU14, DAP hanya bertanding dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tidak bertanding dimana-mana kerusi Parlimen di Kedah.

Dua kerusi DUN berkenaan adalah Kota Darul Aman di Parlimen Alor Setar dan Derga di Parlimen Pokok Sena.