DAP hari ini mengecam pembunuhan Koperal Raja Aizam Raja Mohd, sambil menyifatkan situasi keselamatan di Malaysia 'semakin buruk' dan tidak selamat sekalipun bagi seorang anggota polis.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata serangan oleh pendatang tanpa izin terhadap Raja Aizam dan juga Korporal Mohd Aidil Mustafa yang telah menyebabkan Aidil cedera, menandakan satu fasa baru terhadap tahap keselamatan di Malaysia.

Menurut Lim, kini bukan rakyat biasa sahaja yang merasakan keadaan di negara sendiri sudah tidak selamat, tetapi anggota polis pun turut berasa begitu.

"Pembunuh-pembunuh itu seharusnya dibawa ke muka pengadilan dan dihukum dengan seberat-berat hukuman yang dikenakan terhadap pembunuh," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Lim, keadaan itu adalah disebabkan pihak berkuasa 'menutup mata' terlalu lama ketika warga asing mula membanjiri negara dan memberikan impak yang buruk kepada rakyat.

Sementara itu, Lim menyokong cadangan oleh pengarah eksekutif Women's Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah mencadangkan pembentukan sebuah jawatankuasa pilihan Parlimen yang akan menjelajah ke seluruh negara, mendengar pelbagai aduan rakyat terhadap polis.

Beliau juga menyoal sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar akan turut menyokong cadangan tersebut.

"Adakah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal parlimen, Datuk Seri Shahidan Kassim akan mengetengahkan perkara ini pada mesyuarat Kabinet Rabu ini?," soalnya lagi.

Lim juga berkata akan menghantar nota kepada Shahidan sebelum mesyuarat Kabinet pada Rabu dan menggesa beliau untuk mendapatkan lampu hijau berkenaan penubuhan jawatankuasa pilihan Parlimen itu.

Selain itu, beliau menyeru kepada semua Ahli Parlimen sama ada di dalam Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional (BN) untuk menyokong penubuhan satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk memastikan rakyat Malaysia serta pasukan polis sentiasa selamat.

Semalam, seorang anggota polis peronda maut manakala rakan setugasnya cedera selepas diserang hendap sekumpulan warga asing dalam satu kejadian di Taman Sentosa, Klang pada awal pagi.

Koperal Raja Aizam, 53, yang cedera di kepala maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah manakala Koperal Mohd Aidil, 29, masih menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, kedua-dua mereka daripada unit kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan diserang hendap ketika meronda di Lorong Yusuf Shahbudin 44D, Taman Sentosa.